Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 600 bayi pramatang dan sakit raih manfaat daripada Bank Derma Susu Ibu S'pura

Sebanyak 3,200 liter susu badan didermakan para ibu yang murah hati, dalam tahun pertama Bank Derma Susu Ibu S'pura beroperasi.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih 600 bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan dan bayi yang sakit sudah meraih manfaat daripada susu-susu ibu yang didermakan kepada Bank Derma Susu Ibu di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KKH.

Sejak satu-satunya bank derma susu ibu di Singapura itu dibuka pada bulan Ogos tahun lalu, lebih 400 ibu tampil mendermakan susu badan demi membantu bayi-bayi pramatang yang memerlukannya.

Jumlah keseluruhan susu ibu yang sudah didermakan kepada bank tersebut adalah sebanyak 3,200 liter dalam tempoh setahun.

Menurut KKH, ini adalah satu perkembangan positif dan amat memberangsangkan.

Ini kerana Program Bank Derma Susu Ibu Temasek Foundation Cares itu pada awalnya menyasarkan untuk menerima derma susu daripada sekitar 400 ibu untuk dimanfaatkan oleh kira-kira 900 bayi yang lahir tidak cukup bulan dalam tempoh tiga tahun.

Proses menghilangkan beku pada susu yang didermakan. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

Proses menghilangkan beku pada susu yang didermakan. 

BAKAL TAWAR BEKALAN SUSU IBU KE HOSPITAL PRIVET

Setakat ini selain bayi yang dilahirkan di KKH, bank itu juga membekalkan susu yang didermakan kepada bayi-bayi pramatang di Hospital Besar Singapura (SGH) dan Hospital Universiti Nasional (NUH).

Memandangkan sambutan memberangsangkan daripada para penderma susu ibu, KKH dan Temasek Foundation Cares mendedahkan rancangan untuk menawarkan susu-susu ibu yang didermakan kepada hospital-hospital privet menjelang suku pertama tahun depan.

Lantaran itu, Pengarah Bank Derma Susu Ibu KKH, Dr Chua Mei Chien berharap lebih ramai akan tampil menderma.

"Kami berbesar hati dengan sokongan yang diterima dan ingin mengucapkan terima kasih kepada para penderma yang bersungguh-sungguh membantu. Kami mahu menggalak lebih ramai penderma supaya tampil untuk membantu lebih ramai bayi yang memerlukan serta ibu bapa mereka," kata Dr Chua.

Poses menyatukan susu-susu yang didermakan oleh individu yang sama. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

Poses menyatukan susu-susu yang didermakan oleh individu yang sama.

BANK DERMA SUSU IBU BANTU KURANGKAN JANGKITAN MAUT PADA BAYI PRAMATANG

Semasa taklimat media yang diadakan di KKH hari ini (8 Nov), pihak hospital juga mendedahkan sebelum ini mereka mengendalikan 5.8 peratus kes bayi yang mengalami masalah necrotising enterocolitis (NEC). Sejenis jangkitan pada usus bayi pramatang yang boleh membawa maut.

Namun selepas bank tersebut dibuka, kes NEC berkurangan kepada 1.8 peratus. Ini bermakna, kes NEC berkurangan sebanyak 57 peratus.

Bagi para ibu yang melahirkan bayi pramatang dan tidak dapat menghasilkan susu badan yang mencukupi, susu dari bank derma susu ibu di KKH itu pasti sesuatu yang tidak ternilai harganya.

Mentelah lagi, bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan amat bergantung kepada susu yang didermakan bagi memastikan mereka menerima khasiat secukupnya ketika beberapa hari atau minggu pertama dalam hidupnya.

Proses pemurnian susu yang ibu pada suhu 62.5 darjah Selsius selama 30 minit. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

LEBIH RAMAI IBU SEMANGAT MAHU MENYUSU BAYI SENDIRI

Di Singapura, kira-kira satu dalam 10 bayi dilahirkan pramatang, iaitu kandungan yang kurang daripada 37 minggu. Di KKH jumlah kelahiran pramatang semakin meningkat - dari 11 peratus kepada 13.5 peratus dalam tempoh 10 tahun lalu.

"Saya rasa ini disebabkan wanita sekarang hamil pada usia lebih lanjut dan juga bertambahnya jumlah orang yang menggunakan teknik-teknik bantuan untuk hamil," ujar Dr Chua.

Sejak tertubuhkan bank derma susu ibu itu KKH mendapati tahap kesejahteraan emosi dan mental seseorang ibu yang baru melahirkan bayi semakin baik. Ini sekaligus menyumbang kepada peningkatan 20 peratus ibu-ibu yang memberikan susu badan mereka secara eksklusif kepada bayi-bayi mereka.

"Mereka menjadi lebih bersemangat dan fokus untuk berusaha menambah bekalan susu badan mereka sendiri apabila mereka tahu bayi mereka sedang disusukan dengan susu ibu yang didermakan," tambah Dr Chua.

Sesi taklimat media mengenai Bank Derma Susu Ibu KKH. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

Sesi taklimat media mengenai Bank Derma Susu Ibu KKH.

KKH mengamalkan piawai antarabangsa yang ditetapkan oleh Institut Kesihatan dan Jagaan Nasional United Kingdom serta Persatuan Bank Derma Susu Ibu Amerika Utara.

Garis panduan tersebut begitu menyeluruh, diiktiraf dan diamalkan oleh bank-bank derma susu yang sudah lama bertapak. Bagi memastikan susu yang didermakan itu selamat diminum, para penderma perlu memenuhi kriteria-kriteria yang ketat.

Antara lain, seseorang wanita tidak boleh menderma susu badan sekiranya mereka merokok, minum lebih daripada tiga cawan kopi sehari, positif HIV dan pernah menindik telinga dalam tempoh 12 bulan sebelum menderma. 

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan