Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 500,000 buku teks dikumpul bagi pelajar dari keluarga berpendapatan rendah

Lebih 24,000 pelajar memerlukan akan dapat menguntum senyuman menjelang pembukaan semula sekolah bulan depan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih 24,000 pelajar memerlukan akan dapat menguntum senyuman menjelang pembukaan semula sekolah bulan depan.

Ini selepas kumpulan pelajar yang diberi keutamaan di bawah inisiatif 'Share-A-Textbook' NTUC Fairprice layak mendapatkan lebih 500,000 buku teks secara percuma, hasil sumbangan orang ramai.

Jumlah buku teks yang dikumpul itu juga adalah yang tertinggi dalam sejarah projek tersebut sejak ia dimulakan 36 tahun lalu.

BERUPAYA JIMAT SEHINGGA $400

Ibu lima anak kepada salah seorang penerima bantuan, iaitu Cik Indah Abdullah berkongsi: "Sangat-sangat membantu. Kita boleh jimatkan, termasuk beli buku, seragam sekolah dan baucar NTUC, hampir $400."

Anaknya, penerima bantuan Eliza Puteri Md Fhaizar yang bakal memasuki Darjah 6 tahun depan pula berkata: "Saya berasa gembira kerana ada orang di luar yang telah tolong saya dan saya boleh mengulang kaji dua kali sehari untuk persiapan PSLE saya tahun depan."

Sebanyak 170 tempat derma disediakan di seluruh negara sebelum ini bagi orang ramai menyumbang kepada usaha murni ini.

Ketua Pegawai Eksekutif NTUC Fairprice, Encik Seah Kian Peng turut mengulas: "Pencapaian ini tidak mungkin dapat diraih tanpa sifat dermawan para penyumbang dan pelajar, serta sukarelawan korporat dan awam yang mengorbankan masa dan tenaga mereka."

KALI KEDUA 'SHARE-A-TEXTBOOK', 'BACK-TO-SCHOOL' DIANJUR BERSAMA

Inisiatif 'Share-A-Textbook' dan 'Back to School' anjuran bersama NTUC Fairprice dan NTUC U-Care bertujuan menyokong dan memudahkan keluarga berpendapatan rendah dalam memperolehi kelengkapan sekolah.

Acara bersama itu diadakan buat kali kedua tahun ini.

Penolong Setiausaha Agung dan Pengarah bagi Bahagian 'Care and Share' NTUC, Encik Zainal Sapari berkata: "Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Share-A-Textbook Fairprice sekali lagi bagi membawa lebih nilai dan kemudahan kepada anggota kesatuan kami.

"Pameran Kembali Ke Sekolah NTUC adalah platform penting bagi para anggota kami, bukan sahaja untuk membeli barangan bagi keperluan sekolah anak-anak, tetapi juga untuk menjimatkan mereka dengan potongan harga yang ditawarkan," tambah Encik Zainal yang juga Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol.

ORANG RAMAI JUGA BOLEH TERIMA BUKU TEKS PERCUMA ESOK

Acara yang berlangsung di Hab Tampines Kita dari jam 10.00 pagi hingga 8.00 malam hari ini dan esok itu juga diiringi pameran 'Back to School' NTUC U-Care.

Pameran yang diadakan buat kali ke-14 itu pula menyaksikan sekitar 30,000 anggota kesatuan NTUC berpendapatan rendah dan keluarga mereka membeli pelbagai keperluan sekolah pada kadar subsidi menggunakan baucar 'Back to School' mereka.

(Gambar-gambar: Ira Musfirah)

Tahun ini, seramai 1,100 sukarelawan menggembleng tenaga bagi mengumpul, membahagi-bahagikan dan menyusun buku teks daripada Projek Share-A-Textbook itu.

Orang ramai pula berpeluang mendapatkan buku teks percuma ini esok (9 Dis).

Selain menggalakkan budaya kitar semula, usaha seumpama ini juga menyemai sikap prihatin dalam kalangan masyarakat.

Acara tersebut turut diserikan dengan kehadiran Menteri Sekitaran dan Sumber Air, yang juga Penasihat bagi Pertubuhan Akar Umbi (GRO) Tampines, Encik Masagos Zulkifli. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan