Images
  • mandarin orchard sg
    Mandarin Orchard Singapura (Gambar: Google Streetview)

Lebih 40 jatuh sakit, akibat keracunan makanan di Mandarin Orchard, 4 masuk hospital

SINGAPURA: Seramai 42 orang jatuh sakit, dengan empat daripada mereka dimasukkan ke hospital, selepas satu kejadian keracunan makanan di Mandarin Orchard Singapore, menurut pihak berkuasa pada Rabu (5 Dis).

Makanan yang terjejas dihidangkan semasa jamuan makan tengah hari di hotel itu pada Ahad.

Dalam satu kenyataan kepada Mediacorp, Kementerian Kesihatan (MOH), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Penguasa Agromakanan dan Veterinar (AVA) mengesahkan mereka sedang menyiasat kejadian terbaru kes keracunan makanan yang melanda negara ini dalam masa beberapa minggu lalu.

"Sehingga 9.30 pagi ini (5 Dis), 42 kes dilaporkan mengalami gastorenteritis atau radang perut dan usus. Empat daripada mereka dimasukkan ke hospital," menurut kenyataan itu.

"MOH, NEA dan AVA menyiasat premis katerer pada 4 Disember 2018. Sebagai sebahagian daripada siasatan itu, sampel najis pengendali makanan diperiksa, dan sampel makanan serta sekitaran diambil untuk diuji."

Mandarin Orchard Singapura menyatakan pihaknya sedang memantau keadaan dan bersedia membantu mereka yang terjejas.

"Kami sudah menghubungi tetamu yang terjejas untuk menghulurkan sokongan dan bantuan sewajarnya dan memantau keadaan mereka. Tiada yang lebih penting bagi kami sekarang selain keselamatan dan kebajikan mereka," menurut kenyataan Mandarin Orchard Singapura kepada Mediacorp.

Para kakitangan hotel yang mengendalikan makanan "direhatkan sementara" sehingga kesemua ujian perubatan selesai dan diberi keluluskan pihak berkuasa.

Mandarin Orchard Singapura juga menyatakan pihaknya tidak lagi menghidangkan makanan mentah yang disediakan di dapur jamuan semasa tempoh siasatan.

Kes ini yang terbaru dalam beberapa kes keracunan makanan yang dilaporkan pada November.

Kes paling serius mengakibatkan seorang maut dan lebih 80 orang jatuh sakit selepas makan hidangan bento yang dibekalkan Spize dari cawangannya di River Valley.

Lebih 20 orang dimasukkan ke hospital, termasuk pegawai polis tambahan Allahyarham Fadli Salleh yang meninggal dunia pada 14 November.

Pada 23 November, 190 orang jatuh sakit dengan tanda-tanda gastroenteritis selepas makan sajian yang disediakan dari dapur katering kumpulan restoran TungLok.

Lebih 130 murid dan guru pula atuh sakit dalam satu kes berasingan pada 26 November setelah mereka makan makanan yang disiapkan oleh FoodTalks Caterer and Manufacturer semasa perkhemahan kanak-kanak.

- CNA/TQ/tq

Top