Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 130 restoran Subway di seluruh S'pura kini sah ada sijil Halal

Lebih 130 restoran Subway di seluruh Singapura kini sudah mendapat sijil halal.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 130 restoran Subway di seluruh S'pura kini sah ada sijil Halal

Salah satu iklan Subway Singapore yang menampilkan sanwic Meatball Marinara. (Gambar: Facebook/ Subway Singapore)

SINGAPURA: Lebih 130 restoran Subway di seluruh Singapura kini sudah mendapat sijil halal.

Pensijilan tersebut selaras dengan garis pandu halal Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), dedah kenyataan media Subway Singapore pada Jumaat (31 Ogos).

Langkah itu dibuat untuk "memperluaskan pilihan sanwic, 'wrap' dan saladanya bagi memenuhi keperluan pemakanan lebih ramai pengguna di Singapura", menurut rangkaian restoran tersebut.

Subway Singapore juga menjelaskan bahawa semua daging babi yang sebelum ini digunakannya, sudah digantikan dengan ayam atau daging lembu.

Sebagai restoran yang sudah bertapak di Singapura sejak 22 tahun lalu, Pengarah Negeri Subway bagi Asia Tenggara/Hong Kong/Macau, Encik Samad Mohd Shariff berkata adalah penting bagi pihaknya "kekal relevan" kepada pelanggannya dan "memperkasa mereka dengan pilihan, iaitu dengan membolehkan lebih banyak sanwic kegemaran mereka".

"Kami berasa sangat berbesar hati menerima pensijilan halal kami daripada MUIS hari ini dan mengalu-alukan usaha memperluaskan hidangan kami dan menarik perhatian pelbagai pilihan dalam negara yang majmuk," kata Encik Samad yang berkata bahawa proses mendapat sijil halal itu dijalankan "dengan teliti".

3 KESAN SETELAH SUBWAY JADI HALAL

Usaha menembusi pasaran halal ini dilakukannya memandangkan Singapura adalah salah satu daripada 10 destinasi paling dikunjungi pelancong muslim di Asia, menurut Indeks Percutian Islam Global Mastercard-CresentRating pada tahun 2017.

"Yang pertama ialah kami boleh meluaskan 'Subway experience' (pengalaman Subway) kepada para pelanggan yang baru," terang Encik Samad tentang antara kesan bagi syarikatnya mendapat sijil halal.

"Yang kedua, kami boleh memaparkan produk bermutu tinggi yang terdapat di Subway seperti produk dan daging segar. Yang ketiga, Subway boleh menjadi satu pilihan untuk pelanggan-pelanggan yang baru dari luar Singapura."

Dengan lebih 240 juta penganut Islam di Asia Tenggara yang membentuk 40 peratus bilangan penduduk, pasaran percutian Islam juga dianggarkan tumbuh sehingga AS$220 bilion (S$300 bilion) pada tahun 2020.

5 CAWANGAN JALANI ROMBAKAN REKA BENTUK

Sehubungan itu, para pelanggan Subway juga boleh menjangkakan perubahan di lima cawangannya di Singapura.

(Gambar-gambar: Facebook/Subway Singapore)

Sebagai sebahagian daripada perubahan globalnya, restoran Subway di Clementi Mall, Heartbeat@Bedok, Jurong West, Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Wisteria Mall sudahpun menjalani rombakan reka bentuk 'Fresh Forward'.

"Suasana baru ini akan mengesahkan piawai tinggi produk dan khidmat pelanggan kami di Subway. Jadi dengan perubahan 'Fresh Forward' ini, kami mengharapkan pelanggan-pelanggan yang baru ke restoran-restoran kami," kongsi Encik Samad.

Lima cawangan tersebut juga menggunakan logo baru bagi mencerminkan warna lebih terang, yang diilhamkan oleh sayur-sayuran segar. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan