Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Laporan CSA: Ancaman online sasarkan 'gangguan besar-besaran' pada 2017

Landskap ancaman siber terus berubah-ubah di merata dunia. Tujuan serangan juga kini beralih daripada mengejar keuntungan kepada menimbulkan gangguan besar-besaran seperti kempen perisian tebusan WannaCry.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 19 Jun 2018 04:17PM Dikemas Kini : 19 Jun 2018 10:01PM

SINGAPURA: Landskap ancaman siber terus berubah-ubah di merata dunia. Tujuan serangan juga kini beralih daripada mengejar keuntungan kepada menimbulkan gangguan besar-besaran seperti kempen perisian tebusan WannaCry.

Demikian menurut Agensi Keselamatan Siber (CSA) Singapura hari ini (19 Jun).

Selaras dengan trend-trend global, Singapura sebagai sebuah negara yang sangat terhubung diancam serangan utama seperti percubaan memancing data, pencerobohan laman dan serangan perisian. Ancaman-ancaman ini dilaporkan kepada Pasukan Respons Kecemasan Komputer Singapura (SingCERT) tahun lalu, menurut laporan Landskap Siber Singapura 2017 yang dikeluarkan agensi itu hari ini (19 Jun).

Jumlah kes memancing data adalah yang terbesar, membentuk 39 peratus jumlah kes keseluruhan.

Jumlah kes memancing data menggunakan pautan Singapura, khususnya, mencecah lebih 23,000 kes tahun lalu. Laman palsu termasuk yang menyamar sebagai vendor-vendor teknologi seperti Apple dan Microsoft, khidmat simpan fail seperti Dropbox dan khidmat kewangan seperti PayPal, menurut laporan itu.

Antara ancaman lain termasuk sistem-sistem yang dicerobohi (21 peratus) dan perisian tebusan (17 peratus), tambahnya.

Sekitar 750 sistem dikenal pasti sebagai rangkaian pengawalan bot, dengan purata sekitar 2,700 komputer privet dicerobohi setiap sehari melalui alamat IP Singapura.

CSA menambah, daripada lebih 400 perisian hasad (malware) yang dikesan pada 2017, lima - Conficker, Mirai, Cutwail, Sality dan WannaCry - yang membentuk separuh daripada sistem yang terjejas setiap hari.

"Kebanyakan malware ini bukanlah baru, dan menyarankan bahawa ramai mangsa jarang memeriksa dan menghapus virus serta melindungi sistem mereka," tambah CSA.

Agensi itu turut menyatakan bahawa Singapura umumnya tidak terjejas dengan kempen-kempen perisian tebusan besar-besaran seperti WannaCry, dengan 25 kes diadukan kepada SingCERT tahun lalu. Ia menarik perhatian bahawa para mangsa juga terjejas varian lain seperti Cerber, Dharma dan Sage, dan berdepan dengan ancaman tuntutan tebusan bernilai antara S$2,000 hingga S$4,000.

Sumber : CNA/AQ/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan