Images
  • qantas
    Qantas, Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dan Changi Airport Group (CAG) mengumumkan kerjasama bernilai S$5 juta. (Gambar: James Morgan).

Lapangan Terbang Changi, STB dan Qantas ikat perjanjian S$5 juta pikat pelancong ke S'pura

SINGAPURA: Syarikat penerbangan Qantas dari Australia, Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dan Changi Airport Group (CAG) mengumumkan kerjasama bernilai S$5 juta hari ini (13 Mac) bagi meningkatkan jumlah pelancong ke Singapura.

Kerjasama ini adalah yang pertama dengan syarikat penerbangan asing, menurut CAG. Ia bertujuan untuk "mempromosikan Singapura sebagai sebuah destinasi pelancongan dan gerbang ke Asia, Eropah dan Australia".

Di bawah kerjasama tiga tahun itu, ketiga-tiga pihak akan bekerjasama bagi satu siri kempen pemasaran di Australia, Britain dan Asia Tenggara bagi "mempromosikan percutian yang menggunakan khidmat Qantas melalui Singapura", menurut kenyataan bersama oleh ketiga-tiga pihak itu.

Kerjasama itu juga bertujuan untuk meningkatkan jumlah pelancong melalui Singapura dari pasaran-pasaran utama di Australia dan Britain, menurut CEO Qantas Group, Encik Alan Joyce.

"Singapura merupakan hab Qantas terbesar di luar Australia, yang membawa 20 peratus daripada pesawat besar kami. Ia adalah bandar penting dalam strategi rangkaian antarabangsa dan memainkan peranan yang penting dalam keupayaan kami untuk memberikan respons kepada pertumbuhan lebih tinggi dalam kalangan pelancong dari Asia," menurut Encik Joyce.

Singapura turut meraih manfaat daripada kerjasama ini kerana "ia satu peluang untuk membawa lebih ramai pelancong ke Singapura dan mempertingkatkan profil sebagai destinasi bermutu," kata Ketua Eksekutif STB Encik Lionel Yeo.

"Australia dan Britain sekian lama menjadi sumber pasaran yang penting bagi Singapura, masing-masing berada di kedudukan kelima dan ke-12 pada 2017.

"Kerjasama baru ini ditubuhkan atas usaha STB dalam membina hubungan kerjasama strategik dengan syarikat-syarikat penerbangan dan rakan-rakan industri untuk mempromosikan Singapura, meningkatkan jumlah pelancong dan meraih kejayaan pelancongan," tambah Encik Yeo.

Pada 2017, Lapangan Terbang Changi menguruskan 62.2 juta pergerakan penumpang, dengan sekitar 30 peratus pelancong yang melakukan persinggahan di lapangan terbang tersebut, dan ia merupakan lapangan terbang antarabangsa yang mempunyai rangkaian paling baik dengan Australia, dari segi rangkaian bandar dan jumlah tempat duduk mingguan yang disediakan.

Dengan keputusan Qantas untuk mengubah pusat persinggahan bagi penerbangan Sydney-London ke Singapura, Lapangan Terbang Changi menawarkan 53 penerbangan mingguan antara Singapura dengan London.

Mulai April 2018, Qantas akan mula mengendalikan lebih 50 penerbangan ulang-alik dari Lapangan Terbang Changi setiap minggu, menjadikannya syarikat penerbangan asing terbesar yang beroperasi di lapangan terbang Singapura.  

- CNA/FA/im

Top