Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lao Airlines sekali lagi hentikan laluan S'pura-Laos

Syarikat penerbangan Laos, Lao Airlines akan menghentikan penerbangan ulang-alik Laos-Singapura mulai 25 Mac atas sebab-sebab operasi.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 Mar 2018 11:39AM Dikemas Kini : 13 Mar 2018 10:55PM

SINGAPURA: Syarikat penerbangan Laos, Lao Airlines akan menghentikan penerbangan ulang-alik Laos-Singapura mulai 25 Mac atas sebab-sebab operasi.

Dalam satu catatan di Facebook semalam (12 Mac), syarikat penerbangan tersebut menyatakan bahawa ia akan meneruskan jadual penerbangan "seawal mungkin apabila ia sudah bersedia untuk beroperasi kelak".

Ini merupakan kali kedua penerbangan antara kedua-dua negara dihentikan. Ini diumumkan selang lima bulan selepas Lao Airlines melancarkan sekali lagi khidmat penerbangan Singapura-Laos pada lewat Oktober tahun lalu.

Langkah ini sejajar dengan pengumuman Laos yang mengisytiharkan tahun 2018 sebagai "Tahun Melawat Laos", kempen pelancongan yang boleh merancakkan ekonomi negara itu.

Setakat Februari tahun ini, enam penerbangan harian dijadualkan antara Laos dengan Singapura, di bawah perkongsian pesawat yang ditandatangani dengan SilkAir pada Julai 2017. Buat masa ini, SilkAir melakukan penerbangan ke Laos tiga kali seminggu.

Apabila ditanya sama ada SilkAir akan menimbangkan untuk menambah penerbangan ke Laos kerana tiadanya khidmat penerbangan Lao Airlines, seorang jurucakap SilkAir berkata: "Kami akan terus memantau permintaan pasaran dan akan melakukan semakan bagi operasi kami seperti yang diperlukan untuk menawarkan keperluan yang terbaik kepada pasaran."

Pada awal 2017, Lao Airlines juga menghentikan penerbangan Singapura-Lao, tetapi pelbagai media melaporkan bahawa syarikat tersebut tidak memberikan sebarang sebab ia menghentikan khidmat tersebut. SilkAir juga tidak mendedahkan jumlah penumpang yang menggunakan khidmat penerbangan Singapura-Laos antara Oktober 2017 hingga Februari tahun ini, yang memberikan sebab komersil.

"Cukup setakat menyatakan bahawa sejak SilkAir memulakan operasi ke Laos pada 31 Oktober 2016, kami mencatat paras permintaan yang sihat bagi khidmat penerbangannya," tambah jurucakap tersebut.

Tahun ini, Laos membuat permohonan kepada Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk menyenaraikan salah satu daya tarikannya - Plain of Jars di wilayah Xieng Khouang - sebagai tapak warisan dunia.

Buat masa ini, Laos mempunyai dua tapak warisan dunia UNESCO: Kota purba Luang Prabang, dan bangunan kuil yang dibina sebelum era Angkor Vat Phou di Champassak.

Apabila ditanya bagaimana SilkAir merancang untuk menggunakan kempen pelancongan Laos untuk memacu perniagaannya, jurucakap SilkAir berkata: "SilkAir akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan yang relevan untuk meningkatkan profil Laos sebagai sebuah destinasi pelancongan bagi merancakkan lagi perniagaan dan sektor pariwisata."  

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan