Images
  • wallaby 18
    Simulasi latihan di Latihan Wallaby (Gambar: Mediacorp)

Langkah keselamatan baru bagi latihan berperisai dilaksana di Latihan Wallaby

ROCKHAMPTON: Beberapa langkah keselamatan yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Siasatan (COI) menyusuli kematian seorang anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa (NSF) dilaksanakan di Latihan Wallaby tahun ini yang diadakan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) bersama Angkatan Pertahanan Australia (ADF).

COI itu dibentuk untuk menyiasat kematian Sarjan Ketiga (3SG) Gavin Chan semasa latihan Latihan Wallaby di Kawasan Latihan Shoalwater Bay di Queensland, Australia pada September 2017. Sebuah kenderaan pertempuran infantri Bionix yang mendiang naiki terbalik ketika pemandunya cuba berundur dari batu semasa 3SG Chan mengemudinya pada waktu malam.

"Unit-unit terlibat dalam Latihan Wallaby tahun ini sudah menjalani latihan peningkatan dan keupayaan yang sewajarnya," menurut pengarah keseluruhan Latihan Wallaby 2018 yang juga Ketua Pegawai Guards, Kolonel Seet Uei Lim.

"Semua komander dan pemandu kenderaan menjalani Latihan Lanjutan Memandu Luar Negara (ODAT) wajib yang merangkumi latihan siang dan malam meniti anak sungai, jambatan dan dataran luar jalan raya."

Protokol Evakuasi Dipermudah juga kini diterapkan.

Col Seet menambah langkah penjeyukan seperti sistem penyejukan rendaman tangan serta pad penyejuk khas juga disediakan bagi para askar terlibat dalam latihan tersebut. SAF melancarkan langkah ini selepas kematian seorang NSF berusia 19 tahun akibat strok haba pada April.

Langkah-langkah keselamatan ini kata Col Seet, diperkenalkan agar askar-askar dapat "menumpukan perhatian pada misi" dan menjalani latihan dengan yakin.

Isu tentang keselamatan latihan dibangkitkan lagi selepas satu lagi kematian NSF melibatkan kenderaan Bionix Sabtu lalu. Semua latihan tentera digantung sementara dan semakan langkah keselamatan diadakan. Penggantungan itu ditarik balik pada tengah malam Khamis (8 Nov) dan latihan bagi Exercise Trident - fasa terakhir Latihan Wallaby, diteruskan.

"Panglima Tentera puas hati dengan langkah-langkah yang kami ambil semasa semakan keselamatan dan beliau membenarkan latihan Exercise Trident diteruskan," menurut Komander Latihan Trident, Kolonel Yu You Feng.

"Askar-askar bersemangat untuk meneruskannya dan kami bersedia untuk menganjurkan latihan yang realistik, mencabar dan selamat bagi latihan terakhir Latihan Trident 2018."

Acara penutup pada Selasa melibatkan helikopter dan operasi kapal-dan-darat yang melibatkan tentera udara, laut dan darat Singapura dan ADF. 

- CNA/TQ/tq

Top