Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kurikulum Madrasah tempatan kini utamakan pemikiran kritis dan beretika

Madrasah-madrasah di sini siap menangani isu radikalisme dan sikap eksklusif termasuk pemikiran agama yang dianggap ekstrem.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Madrasah-madrasah di sini siap menangani isu radikalisme dan sikap eksklusif termasuk pemikiran agama yang dianggap ekstrem. Ini termasuk sikap yang tidak dapat diterima dalam konteks negara majmuk dan sekular Singapura.

Pengarah Perancangan dan Pembangunan Kurikulum MUIS, Sharifah Farah Mahmood Aljunied berkata ini dilakukan secara aktif menerusi kurikulum dan program baru yang diterapkan di madrasah.

Semua ini sebahagian daripada kurikulum madrasah yang kini mengutamakan pemikiran kritis dan beretika.

MADRASAH TEMPATAN SESUAIKAN KURIKULUM SEJAJAR DENGAN ISU SEMASA

Pendidikan madrasah seperti di Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah, mempunyai kurikulum akademik dan agama Islam yang menyeluruh. Sebagai contoh ia ada program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik atau STEM.

Namun pada sisi yang lain pula, dalam konteks hari ini terdapat isu-isu sosial yang terkait dengan agama, seperti radikalisme dan sifat ekslusif, yang terkadang diajukan kepada pelajar-pelajar Madrasah.

Dengan ini, sejauh manakah sistem pendidikan di madrasah di sini menyiapkan pelajar untuk berdepan dengan cabaran-cabaran ini, di tengah-tengah ancaman pengganasan sejagat yang mencemari Islam?

Dalam wawancara bersama BERITAMediacorp, Sharifah Farah Aljunied berkongsi bahawa sistem pendidikan Madrasah di sini sudah disesuaikan, sebagai satu respons terhadap isu semasa.

"Setiap madrasah telah mengambil ataupun membuat beberapa perubahan atau beberapa penyesuaian tersendiri untuk memastikan kurikulum pelajaran yang disampaikan itu dapat membincangkan mungkin mempelajari dengan lebih mendalam isu-isu semasa.

"Ada juga mata pelajaran yang diperkenalkan seperti di Madrasah Aljunied satu pelajaran baru yang dinamakan 'Islam dan Masyarakat' maka isu-isu semasa radikalisme ataupun pendapat-pendapat yang terlalu eksklusivis juga dimasukkan," katanya.

Untuk mencapai visi ini, pelajar madrasah diterapkan kemahiran melihat masalah daripada beberapa perspektif berbeza. Selain perspektif sosial dan psikologi, pendekatan pemikiran kritis dan beretika turut disepadukan.

"Mereka juga perlu fikir dengan beretika, bila mereka memikirkan satu masalah maka bukan sahaja melihat bagaimana ia boleh diselesaikan dan boleh disesuaikan dalam masa ini tapi apakah isu-isu etika yang mereka perlu fikirkan, selesaikan dan diajukan apabila satu perkara baru itu dihadapi dengan satu masalah baru," tambah Sharifah Farah lagi.

KEMAHIRAN LITERASI KRITIS DALAM BILIK DARJAH

Pendekatan itu turut disyorkan Profesor Madya dari Kumpulan Akademik Bahasa & Budaya Asia, Institut Pendidikan Nasional (NIE), Dr Mukhlis Abu Bakar.

Profesor Madya dari Kumpulan Akademik Bahasa & Budaya Asia, Institut Pendidikan Nasional (NIE), Dr Mukhlis Abu Bakar. (Gambar: BERITAMediacorp)

Beliau turut mengusulkan kaedah 'Literasi Kritis' diterapkan dalam kurikulum madrasah.

"Literasi ini melebihi daripada pemikiran kritis kerana ia mengajak pelajar untuk mempersoalkan apa yang dibaca, mengkritik apa yang dibaca, cuba memposisikan dirinya dalam teks itu, apakah manfaat yang diraih dan apakah manfaat penulis itu raih daripada kita yang membacanya, dan yang paling penting saya rasa adalah untuk merekonstruksi semula informasi yang kita terima.

"Ini supaya akhirnya kita memahami dari sudut pandangan kita kerana mungkin daripada sudut pandangan orang lain yang mungkin kita termakan, kita tidak dapat mengamatinya dengan baik," tekannya.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan