Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kos jadi keprihatinan bagi warga menua - Kajian Yayasan Lien-NUS

Lebih ramai warga emas kini mendapatkan khidmat jagaan jangka panjang di rumah atau di pusat jagaan berbanding di rumah-rumah rawatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Aug 2018 08:54PM Dikemas Kini : 14 Aug 2018 10:17PM

SINGAPURA: Lebih ramai warga emas kini mendapatkan khidmat jagaan jangka panjang di rumah atau di pusat jagaan berbanding di rumah-rumah rawatan.

Sekitar 14,000 orang menggunakan khidmat sedemikian tahun lepas, berbanding 10,000 orang di rumah rawatan.

Demikian dapatan satu kajian baru yang dikeluarkan pada Selasa (14 Ogos). Kajian tersebut dijalankan Yayasan Lien bersama NUS mengenai khidmat jagaan jangka panjang di sini.

Walaupun dua pertiga keluarga-keluarga di sini layak mendapat subsidi bagi khidmat jagaan warga tua, kajian itu mendapati soal pembayaran bersama terus menjadi satu keprihatinan.

Ini kerana keluarga-keluarga berkenaan masih perlu membayar antara 20 peratus hingga 70 peratus daripada kos khidmat tersebut.

Hal itu mungkin menjadi hambatan kepada keluarga-keluarga kelas pertengahan untuk menggunakan khidmat jagaan jangka panjang. Tambahan lagi ramai mendapati bayaran bagi khidmat pembantu rumah adalah lebih rendah.

Namun menurut kajian itu lagi, para amah mungkin tidak mempunyai latihan yang sesuai, lantas boleh menjejas kemaslahatan dan kesihatan para warga tua.

Selain itu, kajian tersebut juga meninjau permintaan dan bekalan bagi khidmat jagaan, keupayaan tenaga kerjanya serta mutu jagaan dan aspek urus tadbir.

Meskipun jumlah tempat bagi khidmat jagaan jangka panjang di rumah dan pusat jagaan ditambah daripada 5,900 pada 2011 kepada 13,000 tahun lalu, bekalan bagi beberapa khidmat tertentu masih belum mencukupi.

Misalnya pada 2015, Pusat Penjagaan Bersepadu menerima 7,800 permintaan bagi khidmat jagaan siang hari, berbanding 3,500 tempat yang ada pada tahun tersebut.

Kajian itu juga menekankan perlunya ada sistem pentauliahan, selain latihan dan piawai pensijilan bagi semua para pengendali dan pekerja sektor tersebut.

Maka itu, para pengkaji menyarankan agar perbelanjaan bagi jagaan masyarakat dan di rumah dinaikkan.

Selain itu, kajian tersebut juga mengusulkan supaya pilihan pembiayaan diperluaskan, misalnya dengan menaikkan nilai perlindungan bagi Medifund.

Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan ia akan mengkaji pandangan serta idea yang diutarakan itu. 

Sumber : CNA/NT/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan