Images
  • Korang ok (2)
    Encik Amrin Amin bersenam bersama-sama 650 kanak-kanak prasekolah, 9 Nov. (Gambar-gambar: HPB)

'Korang Ok?' - 650 kanak-kanak prasekolah ini ok & menari ikut video muzik senaman HPB

SINGAPURA: Sekitar 650 kanak-kanak prasekolah hari ini (9 Nov) berhimpun dengan bersenam beramai-ramai untuk melancarkan sebuah video muzik baru dipanggil 'Korang Ok?'.

Jelas terpancar keriangan pada wajah kanak-kanak prasekolah yang hadir di Jurong Town Hall bagi acara itu.

Manakan tidak, mereka begitu seronok menari mengikut rentak lagu dari video muzik yang dikeluarkan oleh Lembaga Pengalakan Kesihatan (HPB). Namun, ia bukan setakat untuk bersuka-ria semata-mata.


Di sebalik pergerakan yang dilakukan, mereka secara tidak langsung menguatkan otot-otot besar seperti lengan dan kaki atau dipanggil kemahiran motor kasar atau 'gross motor skills'.

Kemahiran-kemahiran itu penting untuk membolehkan kanak-kanak melakukan kegiatan-kegiatan harian dengan baik. Ini termasuk berjalan, berlari dan duduk dengan betul.

Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Ehwal Dalam Negeri, Amrin Amin, yang melancarkan video kesihatan tersebut menyifatkan usaha HPB itu sebagai "melentur buluh dari rebungnya".


"Dengan aktiviti ini kita dapat perkenalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti-aktiviti yang menarik yang mereka dapat bergiat, bersenam dan tidak langsung dapat mengamalkan tabiat ini dan kita harap apabila mereka dewasa di masa hadapan mereka akan terus mengamalkan gaya hidup sihat," kata Encik Amrin.


Video muzik 'Korang Ok?' itu adalah yang keenam yang dikeluarkan oleh HPB dibawah siri video Fun Dance.

Menerusi siri tersebut, HPB bekerjasama dengan 1,075 prasekolah yang ditauliah sebagai Prasekolah Sihat untuk menjadikan video-video muzik yang diterbitkan sebagai sebahagian daripada kurikulum pembelajaran.

Ini dilakukan menerusi gabungan kegiatan fizikal dengan jadual pembelajaran harian kanak-kanak prasekolah.

Siri video Fun Dance itu juga dijadikan bahan rujukan oleh para guru prasekolah bagi memastikan kegiatan-kegiatan fizikal dijalankan untuk murid-murid.


Ini sekaligus memenuhi syarat satu jam kegiatan fizikal holistik setiap hari, yang ditetapkan di bawah Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA).

"Kalau pada hari itu kanak-kanak belajar matematik dan belajar angka, kiraan. Jadi untuk mengintegrasikan dengan aktiviti fizikal kami buat tepuk, berlari, berlompat. Jadi dengan adanya video seperti video muzik Korang Ok ini, ia menggalakkan pembelajaran menyeluruh untuk kanak-kanak," kata Pengetua Iman Kindergarten Yishun, Nurulhuda Hamidi.

Para ibu bapa juga boleh mengakses siri video Fun Dance tersebut menerusi laman HealthHub HPB atau YouTube. 

- BERITAmediacorp/nk

Top