Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

KKH minta maaf beri ubat titis hidung sudah tamat tempoh kepada bayi berusia 1 bulan

Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (KKH) hari ini (11 Okt) memohon maaf kerana memberi ubat yang sudah tamat tempoh kepada seorang bayi pada minggu lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
KKH minta maaf beri ubat titis hidung sudah tamat tempoh kepada bayi berusia 1 bulan

Ubat yang diberikan oleh Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (KKH). (Gambar: Judy Teo/Facebook)

Diterbitkan : 11 Oct 2018 04:45PM Dikemas Kini : 11 Oct 2018 04:46PM

SINGAPURA: Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (KKH) hari ini (11 Okt) memohon maaf kerana memberi ubat yang sudah tamat tempoh kepada seorang bayi pada minggu lalu.

Ia juga mendapatkan nasihat sebuah panel semakan bebas untuk memperbaiki sistemnya.

Komen itu dikeluarkan selepas ibu bayi baru lahir itu mendakwa minggu lalu bahawa anaknya diberikan sejenis ubat dekongestan hidung bagi kanak-kanak yang sudah empat bulan tidak sepatutnya digunakan lagi.

Menerusi catatan Facebooknya pada 1 Oktober, Cik Judy Teo mengatakan bahawa beliau "terkejut" apabila mendapat tahu tentang tarikh akhir ubat itu sambil menambah bahawa anaknya baru sahaja berusia "sebulan" apabila ubat itu diberikan.

Gambar-gambar ubat yang dimuat naik Cik Teo, yang menurutnya diberikan pada 25 Ogos, menunjukkan tarikh tamat tempohnya adalah pada April 2018.

"Kami hairan mengapa anak kami tidak beransur pulih meskipun sudah mengambil ubat itu selama lebih sebulan," tulis beliau.

KKH hari ini (11 Okt) mengakui bahawa ubat tersebut, illadin, sudah tamat tempohnya apabila ia diberikan kepada pesakit, dan kemungkinan tidak berkesan.

"Kami akui ubat pelega hidung itu sudah tamat tarikh tempohnya, dan kemungkinan tidak lagi berkesan. Kami benar-benar memohon maaf atas insiden ini," kata Ketua Pegawai Operasi KKH, Alson Goh,

KKH buat masa ini giat mendampingi para kakitangannya dan melaksanakan langkah-langkah yang sesuai.

"Kami sudah menjalankan pemeriksaan teliti terhadap stok ubat-ubatan kami dan para kakitangan diingatkan supaya memeriksa tarikh tamat tempohnya sebelum diberikan kepada para pesakit," kata Encik Goh.

"Di samping itu, kami mendapatkan nasihat panel semakan bebas untuk mengenal pasti peluang-peluang untuk mengukuhkan dan mempertingkat sistem kami dalam urusan ini," tambah beliau.

Hospital juga "sudah memberi rawatan susulan kepada pesakit" dan menawarkan sokongan, menurutnya.

Cik Teo, ibu kepada bayi itu, menyatakan menerusi kemas kini catatan awal Facebooknya bahawa beliau membawa anaknya ke KKH untuk mendapatkan rawatan pada 3 Oktober.

Semasa lawatannya, ubat yang diberikan pada 25 Ogos diambil semula dan digantikan. Kos ditanggung "sebagai kerja pemulihan dan atas ihsannya," kata Cik Teo.

Anaknya dijadual bertemu doktor sekali lagi pada 24 Oktober, di mana kos juga akan ditanggung pihak hospital.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan