Images
  • o level 2018
    Azhari Saputra Mustafa, murid Sekolah Menengah East View, hargai jasa guru-gurunya. (Gambar: Muhammad Asyraf Mohamed Yunos) 

Kisah sekolah berjaya dalam 'O' dan pasangan anak ayah yang terpaksa pisah

SINGAPURA: Lebih 29,000 pelajar mendapat keputusan peperiksaan GCE peringkat 'O' mereka siang tadi.

83.4% daripada mereka meraih kelulusan lima subjek atau lebih, turun sedikit berbanding rekod yang dicatatkan tahun lalu.

Bagi kohort pertama pelajar Normal Akademik yang ditawarkan subjek peringkat tinggi, keputusan mereka sebanding dengan para pelajar peringkat 'O'.

Kami meninjau pelajar beberapa sekolah termasuk Sekolah Menengah East View yang diserapkan ke dalam Sekolah Menengah East Spring pada tahun depan.

Sekolah Menengah East View di Tampines menutup lembaran sejarahnya dengan amat membanggakan.

Kohort terakhirnya yang menduduki GCE 'O' tahun lalu mencatat prestasi lebih baik daripada purata nasional.

Sekolah ini merujuk kepada strateginya yang memberi penekanan pada kecenderungan dan potensi pelajar sebagai pembakar semangat untuk mereka mencapai keputusan terbaik mungkin.

"Saya rasa bagi kami di sekolah kami ini, salah satu program yang kami jalankan ialah program ALP yang berkaitan dengan sains dan teknologi. Jadi, program tersebut memberikan peluang kepada pelajar-pelajar untuk bergabung dan memikirkan projek-projek yang sesuai dengan sains kesihatan. Melalui program tersebut, pelajar-pelajar rasa bahawa mereka boleh menyumbang kepada masyarakat juga melalui sains dan teknologi." kata Cik Rina Kesumawati Mizzy, ketua Jabatan Bahasa Ibunda di Sekolah Menengah East View.

"Guru-guru saya, tidak pernah berputus asa untuk menyokong saya dan mempercayai dalam kebolehan saya untuk belajar selama saya di dalam sekolah ini. Dengan sokongan mereka, saya dapat memenangi anugerah EAGLES," kata Azhari Saputra Mustafa, murid Sekolah Menengah East View.

LULUS 'O' LEVEL TAPI TERPAKSA BERPISAH DENGAN AYAH

Bagi Felynna Hazlan, pelajar di Sekolah Menengah Outram pula, beliau bukan sahaja mengucapkan selamat tinggal kepada sekolah, tetapi bapanya juga.


Selama empat tahun, Felynna ditemani ayahnya, yang merupakan seorang guru penyelaras subjek Bahasa Melayu di sekolah itu.

"Saya rasa gembira dan bersyukur dengan keputusan saya. Saya rasa saya telah lakukan yang sebaiknya dan sangat gembira dan bangga. Saya sengaja pilih sekolah ini kerana saya rasa dengan ada ayah saya, lebih senang jika saya perlu nasihat daripada bapa saya, saya boleh tanya dengan cepat," kata Felynna.

Bahkan Felynna menghargai masa bersama bapanya kerana faham akan tekanan yang dihadapi para pelajar.

"Matlamat saya hanya untuk anak saya selesa belajar di sini. Saya dah lama mengajar di sini jadi saya tahu guru-guru di sini pengasih, penyayang. Saya tahu kalau anak saya belajar di sini, dia akan dijaga, dididik dan dibimbing dengan baik," kata Encik Hazlan Mohd Aris.

- BERITAMediacorp/aq

Top