Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kisah mengharukan bapa bernama Zulkifli Jantan sempena Hari Bapa

Namun tidak semua insan bergelar bapa dapat meraikan Hari Bapa dengan senyuman lebar di wajahnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Kisah mengharukan bapa bernama Zulkifli Jantan sempena Hari Bapa

Encik Zulkifli Jantan, 54 tahun, dan keluarganya memang sudah lali dengan keperitan hidup. (Gambar: BERITAMediacorp)

Diterbitkan : 17 Jun 2017 09:25PM Dikemas Kini : 17 Jun 2017 10:49PM

BERITAMediacorp: Hari ini (18 Jun) adalah Hari Bapa. Namun tidak semua insan bergelar bapa dapat meraikan Hari Bapa dengan senyuman lebar di wajahnya. Atau dengan hadiah dan jamuan mewah bagi meraikan status mereka sebagai bapa.

Di luar sana masih ada banyak bapa yang terus bertarung dengan pelbagai cabaran, keperitan, masalah kewangan dan kesusahan tertentu sedang mereka memikirkan bagaimana untuk menyara dan membesarkan keluarga masing-masing. Golongan bapa seperti ini, memerlukan bantuan orang ramai yang mempunyai kelebihan.

Dalam laporan Hari Bapa ini, BERITAMediacorp mengetengahkan kisah seorang bapa enam orang anak, yang mampu menyentuh hati nurani anda.

KISAH ENCIK ZULKIFLI JANTAN – RELA BERJALAN KAKI KE TEMPAT KERJA DEMI BERJIMAT

Encik Zulkifli Jantan, 54 tahun, dan keluarganya memang sudah lali dengan keperitan hidup. Malah Encik Zulkifli sendiri mengakui pernah hidup tanpa air dan berada di dalam ‘kegelapan’ selama dua hari dek tidak dapat menjelaskan bil elektrik dan air kerana kekurangan wang dan menunggu gaji ‘masuk’.

Malah istilah ‘ikat perut’ juga sudah sebati dengan diri Encik Zulkifli, kerana beliau rela berlapar dan berjalan kaki ke tempat kerja kerana ingin berjimat dan lebih prihatin tentang keperluan perbelanjaan anak-anaknya.

Lebih malang lagi, pekerja pembersihan ini disahkan menghidap Barah Usus Tahap 3 sejak Disember tahun lalu (2016). Beliau kini perlu menjalani rawatan kemoterapi di hospital Tan Tock Seng dan perlu mangambil ubat-ubatan lain yang ditetapkan oleh doktor.

TERMENUNG APABILA DIBERITAHU SAKIT BARAH - TIDAK BERSERAH DEMI ANAK-ANAK

Namun begitu, bapa kepada 6 orang anak berusia di antara 17 hingga 10 tahun, masih tetap menggagahkan dirinya untuk pergi bekerja kerana merasakan tanggungjawab membesarkan anak-anaknya dan menjaga isterinya masih lagi terletak di bahunya, walaupun dalam kesakitan.

“Saya tidak pernah fikirkan tentang penyakit barah ini. Kawan-kawan pun ramai yang tidak tahu. Namun setelah saya kerap mengambil cuti sakit dan perlu berulang-alik ke hospital untuk rawatan dan pembedahan, barulah mereka mengetahui.

“Pada awalnya, setelah diberitahu saya menghidap penyakit barah usus ini, saya termenung dan terfikir sejenak. Persoalan pertama yang bermain di kepala adalah tentang anak-anak saya. Mereka semuanya masih bersekolah dan perlukan sokongan serta panduan dari seorang ayah, itu sahaja kebimbingan utama saya,” ujarnya dengan sebak kepada BERITAMediacorp.

Encik Zulkifli juga berasa beruntung kerana isterinya, Cik Zainab Haji Mohamed Yasir, 48 tahun adalah tunggak kekuatannya. Isterinya, seorang pembantu gerai sambilan, turut menghantar dan menjemput suaminya pulang kerana selepas rawatan kemoterapi, badannya agak lemah dan pernah terjatuh dan tersungkur ketika hendak pulang ke rumah.

TIDAK SETAKAT MENGELUH; MUNGKIN ADA YANG LEBIH SUSAH

Walaupun beliau sekeluarga kini antara lain mendapat bantuan zakat dari badan setempat seperti Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS). Pernah suatu ketika dahulu, Encik Zulkifli berasa ‘tawar hati’, kerana banyak permohonan untuk mendapatkan bantuan ditolak oleh badan-badan kerana kriteria yang ditetapkan ketika itu. Kriteria itu kata beliau, tidak begitu ‘bertolak ansur’, terutamanya bagi keluarga berkesempitan seperti dirinya.

Namun begitu, Encik Zulkifli tetap bersyukur dan tidak mengeluh sahaja kerana katanya mungkin ini adalah ujian untuk keluarganya serta akur mungkin ada lagi keluarga yang lebih susah dan lebih memerlukan darinya.

“Sejujurnya, kami sekeluarga tidak mahu mengharapkan dan menyusahkan orang lain. Walaupun pernah ditolak permohonan meminta bantuan, tetapi saya tetap berusaha sendiri dan menggunakan wang gaji sendiri untuk melangsaikan segala tunggakan bil dan keperluan rumah yang lain.

“Alhamdullilah, dengan bantuan yang diterima kini dari MUIS dan badan yang lain, kehidupan kami sekeluarga lebih teratur. Saya juga berharap agar badan-badan setempat akan lebih terbuka untuk membantu mereka yang memerlukan, usahlah pinggirkan mereka,” kongsi Encik Zulkifli kepada BERITAMediacorp.

TIDAK PERNAH BERCUTI…WALAU UNTUK JEJAK KE JOHOR SEKALIPUN

Dewasa ini, bercuti ke luar negara adalah perkara biasa bagi kebanyakan orang. Sedang Hari Raya bakal menjelang pula, ramai yang pasti berkunjung ke Malaysia untuk membeli belah.

Bagaimanapun, Encik Zulkifli memberitahu BERITAMediacorp, seumur hidupnya beliau sekeluarga tidak pernah pergi melancong atau bercuti bersama, dan beliau juga tidak pernah menjejakkan kaki ke Johor Bahru apatah lagi ke tempat lebih jauh seperti Kuala Lumpur!

Malah beliau dan isteri juga tidak mempunyai passport, kerana itu bagi mereka bukanlah satu keperluan.

Menurut Encik Zulkifli, walaupun anak-anaknya teringin menaiki bas ‘expres’ dan pergi bercuti bersama keluarga ke Malaysia, namun perbelanjaan untuk persekolahan mereka lebih diutamakan.

MUJUR ANAK-ANAK MEMAHAMI

Encik Zulkifli menceritakan: “Saya tidak terkilan sangat kerana tidak dapat bercuti ke keluar negara, namun sebagai bapa saya tahu keinginan mereka ingin bercuti sekeluarga bersama, namun kewangan kami amat terhad, semuanya telah diperuntukkan untuk belanja sekolah dan keperluan rumah yang lain.”

Beliau boleh dikatakan bernasib baik. Anak-anaknya tidak mengikutkan hati. Sebaliknya mereka mengerti duduk perkara.

“Anak-anak kini lebih memahami keadaan keluarga, dan mereka tidak pernah meminta-minta untuk mendapatkan sesuatu seperti barangan gajet atau barangan mahal yang lain,” ujar Encik Zulkifli yang membawa pulang kurang $1,000 dari pekerjaan sepenuh masanya.

HARAPAN SEORANG AYAH & IKHTIAR ANAK-ANAK DI HARI BAPA

Setiap hari doa dan harapan Encik Zulkifli terhadap anak-anaknya tidak pernah berubah. Beliau selalu menginginkan kejayaan dan kebahagiaan untuk anak-anaknya, dan mengharapkan agar mereka tekun belajar agar dapat mengubah kehidupan mereka keluarga, suatu hari nanti.

Selain itu, setiap kali munculnya Hari Bapa, anak-anaknya sendiri akan mengumpul wang dari jajan harian mereka dan memberikan hadiah seperti sebiji kek, dan jam tangan untuknya. Malah anak sulungnya, Nurzaidah Zulaikha, 17 tahun, akan menyuruh adik-adiknya membuat kad untuk bapa mereka atau cuba mengitar semula barangan terpakai yang lain untuk dijadikan hadiah untuk bapa tersayang mereka.

“Setiap kali Hari Bapa, anak-anak tidak pernah melupakan, dan akan terus menyambutnya di rumah. Walaupun mereka masih kecil dulu, tetap ada sesuatu untuk saya. Ini yang membuatkan saya benar-benar terharu, dan saya akan terus bekerja keras dan tidak mahu menghampakan mereka semua.

“Sebagai seorang bapa, saya juga menginginkan yang terbaik dan mereka cemerlang dalam kehidupan. Saya berdoa dan mengharapkan agar Allah memberikan saya kekuatan serta kesihatan yang baik agar saya terus dapat menjalankan tanggungjawab terhadap keluarga dan menjadi saya ketua keluarga yang terbaik untuk mereka semua.” Demikian suara hati dan harapan Encik Zulkifli demi keluarganya.

Selamat Hari Bapa untuk Encik Zulkifli Jantan dan bapa-bapa lain yang senasib dengan beliau. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan