Images
  • kim visit marina bay
    (Gambar: Reuters)

Kim Jong Un kagum dengan S'pura; lahirkan harapan ingin belajar dari negara ini

SEOUL: Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un berkata beliau sangat kagum dengan kemajuan ekonomi Singapura dan berharap dapat belajar dari negara ini semasa beliau melawat beberapa mercu tanda ikonik di sini. Ini menurut media rasmi Korea Utara hari ini (12 Jun).

Encik Kim menyifatkan Singapura sebagai "bersih dan indah" semasa beliau melihat-lihat pemandangan Singapura daripada dek pencerapan Hotel Marina Bay Sands. Menurut beliau, banyak yang dapat beliau pelajari tentang potensi ekonomi Singapura dan bagaimana negara ini sudah berkembangmaju.

Encik Kim tiba di Singapura pada Ahad untuk menghadiri sidang puncak bersejarah dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump hari ini, yang bermatlamat untuk melucutkan senjata dan peluru berpandu nuklear Korea Utara sebagai ganti untuk mendapatkan bantuan ekonomi dan jaminan keselamatan.

Para wartawan dan jurugambar antarabangsa memantau setiap pergerakan Encik Kim, termasuk kenderaan iringannya, berpuluh-puluh anggota keselamatan peribadi dan juga berpuluh-puluh pegawai polis Singapura yang mengiringinya dengan menunggang motosikal.

Menurut media rasmi Korea Utara, Encik Kim mengucapkan terima kasih kepada para pegawai dari Singapura kerana membawa beliau meninjau-ninjau beberapa lokasi menarik di Singapura pada sebelah malam semalam.

Lawatan Encik Kim ke Singapura adalah yang paling jauh pernah dilakukan beliau sejak mengambil alih tampuk kepimpinan negara itu daripada bapanya yang meninggal dunia pada lewat 2011.

Sejak Mac tahun ini, beliau sudah melakukan dua lawatan ke China untuk bertemu dengan Presiden Xi Jinping dan mengadakan pertemuan dengan Presiden Korea Selatan Moon Jae-in pada April dan Mei di Zon Bebas Tentera yang memisahkan kedua-dua negara itu.

Lawatan sebelah malamnya mengejutkan ramai tetamu hotel yang diarahkan supaya jangan berada terlalu dekat dengan rombongan Encik Kim yang diiringi oleh berpuluh-puluh pengawal keselamatan peribadi dan pegawai polis Singapura serta pegawai pemerintah yang menutup sebahagian kawasan lobi hotel.

- Reuters/TQ/tq

Top