Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

KidSTART sudah bantu 800 kanak-kanak dari keluarga susah

Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim berkata 800 kanak-kanak sudah dibantu di bawah program KidSTART - inisiatif untuk menyokong kanak-kanak dari keluarga bergaji rendah menghadiri sekolah secara konsisten.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim berkata 800 kanak-kanak sudah dibantu di bawah program KidSTART - inisiatif untuk menyokong kanak-kanak dari keluarga bergaji rendah menghadiri sekolah secara konsisten.

Maka itu, sasaran 1,000 kanak-kanak yang ditetapkan menjelang 2019 mungkin dapat dicapai lebih awal.

Beliau memberikan perkembangan itu, menjelang Rapat Umum Hari Kebangsaan, Ahad ini (19 Ogos).

Sektor pendidikan awal mendapat tumpuan Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapannya tahun lalu.

Sektor itu dikenal pasti sebagai antara isu jangka panjang yang penting kepada kemajuan dan kesejahteraan Singapura.

KIDSTART BOLEH BERIKAN PERMULAAN BAIK KEPADA SEMUA GOLONGAN MASYARAKAT

Antara inisiatif yang diumumkan ialah meningkatkan jumlah tempat di prasekolah dan membangunkan sistem yang menyokong pembelajaran kanak-kanak dari keluarga bergaji rendah menerusi program KidStart.

Ini bagi memastikan permulaan yang baik untuk semua kanak-kanak tanpa mengira latar belakang mereka.

Dr Faishal berkata: "Saya rasa yakin bahawa kita boleh memberikan permulaan yang baik kepada semua golongan masyarakat kita kerana dengan KidSTART kita menyediakan program yang baik bagi bukan saja anak-anak mereka tetapi kepada keluarga, di mana ia memberi satu pendekatan holistik dari segi kehidupan keluarga, pendidikan, kesihatan dan juga aspek-aspek sosial yang lain."

Bagi memenuhi keperluan itu, lebih banyak pusat prasekolah yang bermutu disediakan dengan yuran yang termampu.

Menurut Dr Faishal, tujuh lagi tadika MOE dan lima tajaka mega akan dibuka di merata negara dalam tempoh tiga tahun akan datang.

PENTING PASTIKAN PENDIDIKAN AWAL YANG BERMUTU

Institut Nasional Pembangunan Awal Kanak-Kanak (NIEC) pula akan menerima kumpulan pertama pelajarnya, tahun depan dan Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) sebelum ini menyatakan gaji guru prasekolah terus tumbuh lebih rancak.

"Dengan adanya mutu, kita boleh memberikan yang terbaik kepada anak-anak kita, kepada keluarga mereka untuk meneruskan proses pembelajaran anak-anak mereka di rumah.

"Justeru dengan adanya lebih banyak peluang bagi guru-guru prasekolah untuk meningkatkan diri mereka, kita boleh membangunkan bukan saja anak-anak kita tetapi generasi yang lebih baik pada hari ini," tambah Dr Faishal.

KIDSTART HARAP DAPAT DILUASKAN; FOKUS KEPADA KANAK-KANAK BERKEPERLUAN KHAS

Program KidSTART yang disediakan di bawah ECDA mendampingi dan menggalak ibu bapa agar menghantar anak mereka ke sekolah secara konsisten.

Dr Faishal berkata ia sudah mencapai 80% sasarannya dan berharap dapat diluaskan lagi kepada lebih banyak lagi keluarga.

Beliau berkongsi: "Saya dapat lihat ia mendatangkan bukan saja nafas baru tetapi harapan kepada anak-anak kita dan juga keluarga kita yang berpendapatan rendah untuk meningkatkan lagi mutu pencapaian dan tahap kehidupan mereka pada masa kini dan juga pada masa akan datang."

Tambah Dr Faishal, tumpuan seterusnya adalah terhadap usaha memastikan kanak-kanak berkeperluan khas tidak terlepas mendapatkan pendidikan awal yang bermutu.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan