Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Khemah, barangan elektrik Persatuan Muhammadiyah bernilai S$50,000 musnah akibat hujan, ribut petir

Khemah serta semua barangan elektrik rosak dan tidak dapat digunakan lagi.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Hujan lebat dan angin ribut petir pagi tadi menyebabkan khemah yang dipasang di luar bangunan Persatuan Muhammadiyah "terangkat" dan "terhempas" sehingga menyebabkan kerosakan yang dianggarkan bernilai S$50,000.

Semasa dihubungi BERITAMediacorp, Setiausaha Agung Persatuan Muhammadiyah, Mohamed Gazali Alistar mengesahkan insiden itu.

Encik Gazali berkata khemah serta semua barangan elektrik rosak dan tidak dapat digunakan lagi.

"Khemah tidak boleh digunakan lagi. Bekalan elektrik terputus, kipas angin dan lampu-lampu (di luar) semua tak boleh digunakan. Peti ais yang kami gunakan pun tiada bekalan elektrik lagi maka kami potong wayar kerana khuatir ia berbahaya," kata beliau.

Menyifatkan kejadian itu seperti "dilanda puting beliung", Encik Gazali menambah khemah tersebut "terangkat" tinggi sehingga salah satu tiangnya terhempas di kawasan luar rumah jiran sebelah.

"Seluruh khemah terangkat. Kenapa saya kata terangkat? Kaki khemah itu terhempas di rumah sebelah yang temboknya saya rasa setinggi sembilan atau 10 kaki," katanya lagi.

Mujur tiada yang cedera akibat insiden tersebut.

Kejadian itu disaksikan sekitar tiga sukarelawan Persatuan Muhammadiyah yang segera memaklumkannya kepada Encik Gazali.

"Saya segera kerahkan anggota dan kakitangan persatuan. Kami buka khemah itu kerana takut ia jatuh dan terkena orang lain. Alhamdulillah insiden itu tidak sampai merosakkan harta benda jiran."

Encik Gazali memberitahu BERITAMediacorp, kerugian yang terpaksa ditanggung persatuan itu akibat insiden tersebut dianggarkan sekitar S$50,000.

"Khemah yang paling mahal. kurang pasti harganya. Khemah ini memang untuk digunakan para jemaah. Ia sudah lama dipasang. Sebenarnya sebahagian daripada khemah itu baru saja digantikan dua tahun lalu. Khemah dan barangan elektrik yang rosak," ujar Encik Gazali.

Kawasan luar bangunan Persatuan Muhammadiyah sudahpun dibersihkan oleh lebih 20 sukarelawan tadi.

Persatuan itu kini mengharapkan sumbangan derma bagi mengumpul dana membeli khemah baru yang lebih kukuh dan juga bagi menggantikan barangan elektrik yang rosak.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan derma mereka menerusi cara-cara berikut:

- Cek atas nama MUHAMMADIYAH dan poskan ke Persatuan Muhammadiyah, No. 14, Jalan Selamat, Singapura 418534

- Tunai dengan hadir ke Persatuan Muhammadiyah di 14 Jalan Selamat

- Melalui pemindahan dana ke akaun simpanan DBS No: 017-005202-0. Perlu hubungi Persatuan Muhammadiyah selepas proses pemindahan dana)

- Derma dari Rumah dengan menelefon ke pejabat Muhammadiyah di talian 62427388 untuk berikan maklumat seperti nama, alamat dan nombor telefon. Pegawai akan hubungi anda untuk menetapkan tarikh dan masa pengambilan.

- Derma online melalui MC payment di lelaman web www.muhammadiyah.org.sg

Menurut Encik Gazali, khemah baru mungkin akan dipasang selepas Aidilfitri nanti.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan