Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ketua jurucakap SMRT letak jawatan; perubahan pucuk kepimpinan sedang dirancang

Ketua jurucakap SMRT, Encik Patrick Nathan, meletak jawatan di tengah-tengah perbincangan mengenai perubahan kepimpinan dalam syarikat pengendali pengangkutan itu menyusuli beberapa insiden besar yang berlaku. 

Anggaran Waktu Membaca:
Ketua jurucakap SMRT letak jawatan; perubahan pucuk kepimpinan sedang dirancang

Ketua jurucakap SMRT, Encik Patrick Nathan. (Gambar: Today)

Diterbitkan : 19 Jan 2018 10:47AM Dikemas Kini : 19 Jan 2018 10:49AM

SINGAPURA: Ketua jurucakap SMRT, Encik Patrick Nathan, meletak jawatan di tengah-tengah perbincangan mengenai perubahan kepimpinan dalam syarikat pengendali pengangkutan itu menyusuli beberapa insiden besar yang berlaku.

Mediacorp difahamkan bahawa Encik Nathan, 56 tahun, sudahpun menyerahkan surat peletakan jawatan. Berita mengenai peletakan jawatannya dilaporkan oleh The Straits Times semalam (18 Jan).

Cik Margaret Teo, ketua pemasaran korporat dan komunikasi SMRT, berkata bahawa syarikat tersebut "tidak akan mengulas mengenai pergerakan kakitangannya".

Beberapa insiden berprofil tinggi berlaku pada tahun lalu, termasuk banjir dalam terowong MRT Bishan dan perlanggaran kereta api di Joo Koon, menjadikan tugas Encik Nathan 'kerusi panas'.

Para penumpang juga mengkritik SMRT kerana gagal memberikan maklumat terkini semasa gangguan besar berlaku termasuk beberapa kerosakan kereta api. Sebagai contoh, SMRT mengambil masa selama tiga jam untuk mengeluarkan kenyataan bersama dengan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) selepas dua kereta api berlanggar di Joo Koon pada November lalu.

Encik Nathan menyertai SMRT sebagai pengarah perancangan keselamatan dan kecemasan pada 2011.

Dua tahun kemudian, beliau mengambil alih jawatan naib presiden perhubungan korporat, menggantikan Cik Kalai Natarajan, seorang veteran perhubungan awam yang meletak jawatan selepas hanya lima bulan bertugas.

Menurut pakar pengangkutan bandar Park Byung Joon, sesiapa saja yang menggantikan Encik Nathan, yang berpengalaman dalam bidang keselamatan, seharusnya seseorang yang berpengalaman dalam bidang komunikasi dan perhubungan awam.

Encik Nathan meletak jawatan di tengah-tengah perubahan pada pucuk kepimpinan SMRT.

Pengerusi SMRT Seah Moon Ming, misalnya, mengambil peranan yang lebih aktif dalam menguruskan pertubuhan tersebut, manakala CEOnya Desmond Kuek pula mengambil pendekatan tidak menonjolkan diri.

Encik Seah juga memperkenalkan peranan pemimpin baru pada lewat bulan Disember - seorang ketua pendampingan penumpang bagi membantu SMRT bertindak lebih pantas terhadap maklum balas penumpang.  

Sumber : Today/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan