Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ketua baru MUIS, Esa Masood, bentangkan fokus dan keutamaan kepimpinannya

Memperkukuh lagi proses menghulurkan bantuan di peringkat akhir atau 'last mile support' bagi keluarga-keluarga memerlukan dan belia dalam masyarakat. Itulah antara bidang-bidang utama yang akan diberikan tumpuan oleh bakal Ketua MUIS yang baru, Encik Esa Han Hsien Masood.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Memperkukuh lagi proses menghulurkan bantuan di peringkat akhir atau 'last mile support' bagi keluarga-keluarga memerlukan dan belia dalam masyarakat. Selain itu lebih banyak lagi program-program perintis akan dilaksanakan di lebih banyak kawasan perumahan dan kejiranan.

Itulah antara bidang-bidang utama yang akan diberikan tumpuan untuk beberapa tahun ini, oleh bakal Ketua MUIS yang baru, Encik Esa Han Hsien Masood.

Encik Esa berkongsi demikian dalam pertemuan dengan pihak media sempena pelantikan beliau selaku Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), berkuat kuasa 1 Januari nanti.

TUGAS ESA DI MUIS SEJAK SETAHUN LALU

Encik Esa mengatakan, semasa baru-baru memasuki MUIS tahun lalu, beliau diberi portfolio pendidikan iaitu ditugaskan memperkukuh sektor madrasah.

Tanggungjawab yang diberikan untuk menyelia sektor pembangunan madrasah sepenuh masa, masjid serta pendidikan Islam di Singapura dianggap sebagai satu langkah permulaan yang baik.

Ini kerana ia memanfaatkan pengalaman-pengalaman beliau sebelum ini selaku Pengarah Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (ECDA) dan di Kementerian Pendidikan (MOE), sekali gus membolehkannya melalui fasa peralihan di MUIS lebih licin.

Encik Esa kemudian mengendalikan pula bidang bantuan sosial di MUIS termasuk bagaimana pengagihan bantuan diberi kepada masyarakat memerlukan dan berpendapatan rendah, selain memadankan para penerima zakat dengan bantuan ComCare.

Kini dengan adanya rangkaian M³ (MUIS, MENDAKI, MESRA), Encik Esa mahu memastikan bahawa bantuan yang dihulurkan MUIS di peringkat akhir berjalan dengan baik.

Misalnya membantu keluarga di mana ibu atau bapanya berada dalam penjara. Keluarga ini perlu diberi sokongan agama dan moral untuk diintegrasi ke dalam masyarakat.

"Kami selalu prihatin apa yang berlaku di sekeliling terutama sekali keperluan dan cabaran yang dilalui masyarakat Islam kita. Menerusi pemerhatian ini, kami lakarkan dasar-dasar serta program bagi memenuhi keperluan jangka masa pendek dan panjang," ujar Encik Esa.

"Apa yang penting, kami akan meneruskan dan juga memperbaiki segala kerja-kerja baik yang telah kita lakukan selama ini dan memastikan penyesuaian dilakukan dalam menghadapi apa jua perubahan," jelas beliau lagi.

USIA MUDA ESA JADI ISU?

Mengulas mengenai gaya kepimpinannya, Encik Esa berkata beliau terbuka kepada pelbagai idea dari pelbagai pakar dalam MUIS.

Apabila diaju tentang bagaimana beliau meyakinkan orang ramai akan kebolehannya mengemudi masyarakat Islam pada usia muda 39 tahun, ini jawapan Encik Esa:

"Umur saya, bagi sesetengah orang boleh menjadi satu isu.Tapi saya harap menerusi kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan, ia boleh menunjukkan bahawa saya ada di sini untuk mendengar. Saya di sini untuk menyumbang dan mudah-mudahan dengan menyokong pihak-pihak berkepentingan, memberi nilai tambah dan berkhidmat kepada mereka, semoga ia tidak akan menjadi isu besar," hujah Encik Esa.

IKRAR BEKERJA RAPAT DENGAN GOLONGAN AGAMAWAN

Graduan Institut Teknologi Massachusetts (MIT) yang pernah bertugas di kementerian seperti Pendidikan serta Perdagangan dan Perusahaan ini turut berikrar untuk bekerja rapat dengan golongan agamawan untuk menghasilkan idea-idea yang mendukung masyarakat.

Di samping menyuntik perspektif segar ke dalam MUIS, bakal Ketua Eksekutif baru Encik Esa Masood juga mahu mencedok banyak lagi pengalaman daripada barisan pemimpin agama lebih mapan dalam badan tersebut.

Kepakaran mereka khususnya dalam bidang pengetahuan Islam, kata Encik Esa, amat berguna untuk saling melengkapi pengalaman yang beliau timba sepanjang berkhidmat dalam sektor awam sebelum ini.

Encik Esa berharap segala yang diperolehi akan membawa kepada pembangunan masyarakat Islam lebih jitu dengan hubungan antara silang agama yang diperkukuh. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan