Images
  • singapore port
    Pelabuhan di Singapura. (Gambar: ROSLAN RAHMAN/AFP)

Kesan 'terhad' tarif AS-China ke atas ekonomi S'pura - Chan Chun Sing

SINGAPURA: Tarif saling balas membalas antara Amerika Syarikat dengan China mempunyai kesan negatif yang "terhad" ke atas ekonomi Singapura kerana ia hanya menjejas "sebahagian kecil" eksport negara, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan (MTI) Chan Chun Sing, di Parlimen hari ini (18 Mei).

Satu analisis yang dilakukan oleh kementerian beliau menjangkakan hanya sekitar 0.09 peratus eksport tempatan yang terjejas secara langsung dengan tarif perdagangan, kongsi Encik Chan.

Meskipun begitu, Pemerintah sedang memantau dengan rapi perkembangan, khususnya bagi kesan ke atas firma dan para pekerja buat jangka masa panjang, kata beliau. Agensi-agensi ekonomi juga sudah mendekati syarikat-syarikat yang mungkin terjejas.

Encik Chan, yang baru mengambil alih tugas di MTI bulan ini menyusuli rombakan Kabinet baru-baru, berkata bahawa beliau sudah meminta kajian yang mendalam dijalankan mengenai kesan-kesan kemungkinan berlakunya perang dagang.

Satu kesan secara langsung adalah kos yang meningkat bagi perniagaan. Walaupun tarif tidak disasarkan kepada Singapura, terdapat <<knock off impact >> kesan sampingan ke atas saluran perdagangan dunia, kata beliau.

Tarif yang disasarkan ke negara-negara lain menjejas aliran perdagangan antara negara-negara ini, yang juga boleh menjejas Singapura, jelas beliau dalam jawapannya kepada pertanyaan Anggota Parlimen GRC West Coast Patrick Tay.

"Sama ada ia positif atau negatif dan sejauh manakah (ia menjejas), kita perlu mengkajinya dengan rapi," kata beliau.

"Ini semua merupakan isu yang rumit yang memerlukan kita untuk memantau trend-trend dengan teliti. Ia memerlukan kita menyemak semula model ekonomi kita bagi memastikan kita memahami perubahan dalam aliran perdagangan dan bertanyakan kepada diri kita sendiri tindakan lanjut yang kita boleh lakukan bagi melindungi diri kita daripada ketidaktentuan ini."

Contohnya, Singapura tidak seharusnya terlalu bergantung kepada mana-mana pasaran yang khusus, kata beliau.

Awal tahun ini, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan tarif ke atas pelbagai barangan termasuk besi, aluminium, dan panel suria - yang disasarkan khususnya ke China dan memberi ancaman atas lebih banyak barangan China.

Sebagai membalas, China mengumumkan senarai tarif atas pelbagai eksport Amerika Syarikat, seperti pesawat dan tanaman.

Satu rombongan dari China kini berada di Washington untuk berbincang dengan pegawai kanan pertadbiran Amerika Syarikat, menyusuli perbincangan yang diadakan di Beijing awal bulan ini.

Encik Chan berkata Singapura sudah menyuarakan kebimbangannya kepada Amerika Syarikat dan China, dan akan terus berhubungan dengan mereka.

Dengan negara ini menyokong perdagangan bebas dan sistem perdagangan pelbagai pihak yang berdasarkan peraturan, Singapura terus bimbang bahawa perbuatan meluaskan langkah-langkah berkaitan tarif secara sepihak "akan mengakibatkan kesan sampingan yang negatif ke atas rangkaian perbekalan global".

"Gangguan terhadap aliran perdagangan dunia atau jumlah perdagangan akan menjejas ekonomi-ekonomi besar dan kecil. Kami berharap negara-negara akan menahan diri dan mengelak daripada terus meningkatkan ketegangan," kata beliau.  

- CNA/FA/fa

Top