Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes tarik pelajar masuk van: Pandangan ibu bapa bercampur-campur mengenai lelaki 'tiada niat buruk'

Ibu bapa para pelajar UWC Asia Tenggara mempunyai pandangan yang bercampur-campur hari ini (18 Jan) sehari selepas polis menyatakan bahawa pemandu yang cuba 'menarik' pelajar perempuan menaiki vannya "tidak mempunyai niat buruk". 

Anggaran Waktu Membaca:
Kes tarik pelajar masuk van: Pandangan ibu bapa bercampur-campur mengenai lelaki 'tiada niat buruk'

Gambar Sekolah Tanglin Trust. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 18 Jan 2018 12:29PM Dikemas Kini : 18 Jan 2018 12:30PM

SINGAPURA: Ibu bapa para pelajar UWC Asia Tenggara mempunyai pandangan yang bercampur-campur hari ini (18 Jan) sehari selepas polis menyatakan bahawa pemandu yang cuba 'menarik' pelajar perempuan menaiki vannya "tidak mempunyai niat buruk".

Pada 12 Januari lalu, Ketua Kolej UWC Chris Edwards mengirimkan emel kepada ibu bapa sekolah tersebut yang mengatakan bahawa seorang pelajar perempuan "dihampiri" semasa sedang dalam perjalanan pulang ke rumah.

Mediacorp difahamkan bahawa pemandu rakyat Singapura yang berusia 32 tahun itu menawarkan untuk menumpangkan kenderaannya kepada belia berkenaan pada 11 Januari kerana hujan ketika itu.

Insiden tersebut merupakan salah satu daripada dua insiden melibatkan sekolah antarabangsa yang berbeza di mana pelajarnya dihampiri oleh orang yang tidak dikenali. Insiden kedua membabitkan pelajar Sekolah Tanglin Trust pada 16 Januari, dan pihak polis menyatakan bahawa insiden pada Rabu itu adalah insiden yang "berasingan" yang melibatkan seorang pemandu wanita.

Sesetengah ibu bapa berkata mereka tidak percaya dengan dakwaan tiada niat buruk, manakala ada juga yang gembira setelah pihak polis berjaya mengenal pasti identiti pemandu dengan pantas dan menganggapnya sebagai satu pengajaran.

Seorang suri rumah Prisca Chu memberitahu Mediacorp bahawa kebimbangannya belum lagi reda. "Selalu hujan di Singapura, tetapi saya tidak pernah ditawarkan untuk menumpang kenderaan. Saya rasa ini bukan perkara biasa di Singapura," kata beliau.

Cik Chu, yang mempunyai anak perempuan berusia lima tahun yang menuntut di sekolah itu, juga menambah bahawa insiden ini merupakan satu daripada dua insiden yang melibatkan sekolah antarabangsa dalam tempoh yang singkat dan ini bukan sesuatu yang berlaku secara kebetulan.

Seorang lagi ibu, yang anak lelakinya 11 tahun kini menuntut di sekolah berkenaan berkata beliau akan menunggu pengesahan daripada pihak sekolah sebelum beliau benar-benar percaya bahawa tiada ancaman terhadap keselamatan pelajar tebabit.

Beliau turut berkata bahawa beliau tahu perkara buruk boleh berlaku, kerana semasa beliau menetap di Amerika Syarikat, dua orang kanak-kanak hampir-hampir diculik daripada rumah jirannya oleh seseorang yang menggunakan kenderaan.

Profesor Rani Mullen, 50 tahun, berkata beberapa ibu bapa dalam kumpulan sembangnya berasa marah kerana meskipun lelaki tersebut tidak mempunyai sebarang niat jahat, ia tetap "tidak elok" untuk sesiapa pun menghampiri kanak-kanak dengan cara seperti itu.

INSIDEN PERINGATAN UNTUK SELALU BERWASPADA

Namun demikian, beliau, sama seperti ibu bapa lain, berkata bahawa insiden itu merupakan satu peringatan bagi keluarga yang menganggap Singapura 'selamat' semata-mata kerana reputasinya sebagai sebuah negara yang selamat.

Seorang bapa, yang mempunyai anak lelaki berusia 13 tahun di sekolah itu berkata beliau berasa gembira apabila pihak polis berupaya mengesan pemandu berkenaan. Insiden itu, meskipun tidak berbahaya, menjadi peringatan buat ibu bapa pelajar sekolah antarabangsa bahawa insiden seperti itu boleh berlaku di Singapura, tambah beliau.

"Ramai di kalangan kami adalah dari negara-negara Barat, dan perkara seperti ini berlaku di negara kami. Kami bawa ketakutan kami bersama kami. Ia mungkin berlaku. Kami bernasib baik kerana terdapat kamera dan sistem keselamatan yang baik di sini," kata beliau.

Seorang lagi ibu, dengan anak berusia sembilan tahun di sekolah tersebut berkata: "Saya tidak rasa mana-mana negara selamat 100 peratus, dengan itu kita harus berwaspada."

Siasatan polis ke atas "insiden berasingan" yang melibatkan seorang pemandu wanita masih diteruskan.  

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan