Images
  • kontraktor
    Denda yang dikenakan ke atas syarikat kejuruteraan keluli, Sterling Engineering, dinaikkan.

Kes pekerja maut dihempap pagar: Denda dinaikkan kepada $330,000 setelah rayuan kontraktor ditolak

SINGAPURA: Denda yang dikenakan ke atas syarikat kejuruteraan besi keluli, Sterling Engineering, dinaikkan kerana gagal memastikan keselamatan pekerjanya.

Ini setelah rayuan yang dikemukakan ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 9 April.

Lima pekerjanya sedang menarik pagar keluli, yang mahu dipasang di tapak kerja Bartley Road pada bulan September 2014, apabila ia tiba-tiba terjatuh dan menghempap salah seorang daripada mereka.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Selasa (17 Apr), Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menyatakan denda syarikat itu dinaikkan kepada S$330,000 dari S$280,000.

Mahkamah Negara mendapati syarikat itu bersalah selepas satu perbicaraan dan hukuman dijatuhkan pada 18 Julai 2017.

Syarikat itu kemudian memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya.

Pihak pendakwa turut memfailkan rayuan agar jumlah denda dinaikkan.

Menurut kenyataan MOM, antara lain, Sterling Engineering menegaskan bahawa reka bentuk pagar tersebut, yang bukan di bawah bidang kuasa syarikat itu, menjadi punca kemalangan.

Permohonan rayuan tersebut diperdengarkan di hadapan Hakim Aedit Abdullah, yang mempertahankan, meskipun syarikat itu mungkin tidak dapat mengubah reka bentuk pagar, ia masih bertanggungjawab sebagai syarikat yang mahir tentang perkara itu dan syarikat yang memasangnya, untuk memastikan keselamatan.

Syarikat itu gagal memastikan piawai yang diperlukan bagi penilaian risiko dan mengambil langkah keselamatan semasa kerja-kerja pemasangan.

Hakim Mahkamah Tinggi menolak rayuan syarikat tersebut terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya.

Pengarah Keselamatan Pekerjaan dan Badan Pemeriksa Kesihatan MOM, Sebastian Tan berkata: "Sebagai syarikat yang memasang pagar itu, majikan bertanggungjawab mengenal pasti semua risiko keselamatan, termasuk yang berkaitan reka bentuk produk dan mengambil langkah kawalan yang sesuai untuk menangani risiko tersebut. Syarikat itu tidak melakukan sedemikian dan seorang pekerja kehilangan nyawa."

Menurut MOM ia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas syarikat yang bersalah.

- CNA/NK/nk

Top