Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes kelar di Kallang: Lelaki terakhir dijatuhi hukuman penjara

Lelaki yang merupakan salah seorang anggota samseng yang membunuh pekerja binaan dan mencederakan tiga lelaki lain pada 2010, hari ini (19 Nov)dijatuhi hukuman penjara 33 tahun dan 24 kali rotan.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes kelar di Kallang: Lelaki terakhir dijatuhi hukuman penjara

Donny Meluda. (Gambar fail: Wee Teck Hian/TODAY)

Diterbitkan : 19 Nov 2018 08:26PM Dikemas Kini : 19 Nov 2018 08:29PM

SINGAPURA: Lelaki yang merupakan salah seorang anggota samseng yang membunuh pekerja binaan dan mencederakan tiga lelaki lain pada 2010, hari ini (19 Nov)dijatuhi hukuman penjara 33 tahun dan 24 kali rotan.

Donny Meluda, 27 tahun, warga Malaysia dari Sarawak, mengaku bersalah atas tiga tuduhan melakukan rompakan bersenjata dan menyebabkan mangsa cedera parah.

Ketika bekerja sebagai seorang pembersih di Singapura pada Mei 2010, dia melakukan beberapa serangan bersama tiga lagi warga Sarawak.

Beberapa jam selepas serangan-serangan tersebut, Donny melarikan diri dari Singapura untuk mengelak daripada ditangkap. Dia menetap di Malaysia sehingga diberkas pada Januari 2017 dan dibawa pulang ke Singapura. Donny adalah lelaki terakhir dalam kumpulan samseng itu untuk didakwa di mahkamah.

Dia dijatuhi hukuman yang sama dengan rakan subahat, Hairee Landak. Micheal Garin pula dijatuhi hukuman mati sementara Tony Imba dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan rotan 24 kali.

Keempat-empat lelaki sedang minum arak di Geylang pada malam 29 Mei 2010 di mana mereka bersubahat untuk merompak.

Mahkamah diberitahu bahawa mangsa pertama mereka adalah pekerja binaan Sandeep Singh yang ditemui di Blok 44 Sims Drive.

Tony menyerang Encik Singh manakala Micheal mengelar mangsa dengan parang dan Donny menumbuknya di muka dengan pemegang paip. Mereka mengambil telefon Nokia dan dompet mangsa sebelum melarikan diri.

Selepas itu, kumpulan samseng tersebut berjalan ke MRT Kallang dan ternampak seorang anggota perkhidmatan negara sepenuh masa Ang Jung Heng, 19 tahun.

Mereka menyerang Ang dan mengambil dompet serta telefon bimbitnya sebelum membiarkan mangsa terlentang di padang belakang sebuah sekolah. Encik Ang kehilangan empat jari dan mengalami luka teruk yang hampir menjejas saraf tunjang beliau.

10 minit kemudian, kempat-empat lelaki terserempak seorang lagi lelaki yang mereka kelar dan rompak sebelum meninggalkannya dalam semak.

Mereka kemudian terus berjalan di Kallang Road dan terserempak seorang pekerja binaan, Shanmuganathan Dillidurai, 41 tahun yang sedang mengayuh basikal berdekatan kondominium Riverine by the Park.

Mereka memotong tangan kirinya dan menetak sebahagian daripada bahagian kepala mangsa sebelum merompaknya.

Mangsa ditemui terlentang dengan beberapa kecederaan di padang di Kallang Road pada awal pagi 30 Mei dan disahkan meninggal dunia kemudian. 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan