Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes Haji VIP: Fahrorazi Sohoi didakwa tipu, perdaya 'jemaah'

Seorang pendakwah tempatan, Fahrorazi Bin Sohoi, didakwa di mahkamah hari ini (17 Ogos) atas satu tuduhan menipu melibatkan pakej haji.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Seorang pendakwah tempatan, Fahrorazi Bin Sohoi, didakwa di mahkamah hari ini (17 Ogos) atas satu tuduhan menipu melibatkan pakej haji.

Fahrorazi Bin Sohoi atau lebih dikenali dalam kalangan masyarakat Islam Singapura sebagai Ustaz Fahrur Razi Kiayi Kassim ditangkap pada hari Rabu (15 Ogos). Sejak itu, dia ditahan reman di Divisyen Polis Central.

Kes itu disebut sekitar pukul 9.30 pagi tadi dan Fahrorazi, 47 tahun, tampil di mahkamah menerusi persidangan video dari tempat dia ditahan reman.

Fahrorazi didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Bab 224, iaitu menipu dan dengan cara yang tidak jujur memperdayakan mangsanya supaya menyerahkan (bayaran, harta dan sebagainya).

Memakai kemeja T berwarna putih dan tangannya digari, dia kelihatan sugul apabila pertuduhan dibacakan.

TIADA PENGAKUAN DIBUAT, MAHU DAPATKAN PEGUAM

Menurut kertas pertuduhan, Fahrorazi didakwa menipu Encik Mohammad Farehan Mohamad Hussein dengan memperdaya beliau supaya percaya bahawa beliau boleh menunaikan ibadah Haji VIP sebagai tetamu istimewa Kedutaan Arab Saudi.

Menurut kertas pertuduhan itu lagi, Fahrorazi melakukan demikian meskipun mengetahui ia tidak benar.

Perbuatannya itu menyebabkan Encik Mohammad Farehan membayar wang tunai sebanyak S$1,550 kepada Fahrorazi. Ini tidak akan berlaku sekiranya Encik Mohammad Farehan tidak diperdaya.
Semasa sesi tadi, polis meminta agar Farorazi ditahan reman lagi seminggu bagi siasatan lanjut berkaitan aduan-aduan serupa.

Setakat ini tiada pengakuan dibuat. Sekali pun demikian Fahrorazi bertanya sama ada dia boleh mendapatkan khidmat peguam.

Hakim memutuskan khidmat peguam boleh diperolehinya selepas dia dibebaskan dan selepas tamat siasatan.

Hakim juga menyatakan ikat jamin mungkin ditawarkan bergantung kepada jumlah tuduhan yang dikenakan ke atasnya.

'JEMAAH' TERJEJAS MAHU PERBICARAAN ADIL

Turut hadir di mahkamah pagi tadi adalah sekitar 20 individu yang terjejas, termasuk Mohammad Farehan Hussein yang membuat aduan polis serta isteri Fahrorazi, Cik Norhayati Ali.

Kumpulan 'jemaah' yang hadir di mahkamah. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Kumpulan 'jemaah' yang hadir di mahkamah. (Gambar: BERITAmediacorp)

Selepas sesi sebutan kes tadi, kesemua mereka dilihat berkumpul dan berbincang di luar mahkamah.

Mereka segera beredar apabila dihampiri BERITAmediacorp dan enggan memberikan sebarang komen.

Namun selang beberapa minit kemudian Encik Farehan menghubungi BERITAmediacorp.

"Kami berada di sini kerana kami mahu mendengar sendiri apakah pertuduhan yang dikenakan ke atas ustaz. Perkara paling penting dalam fikiran kami, termasuk saya sekarang adalah kami mahukan perbicaraan yang adil," kata Encik Farehan.

Sebutan kes seterusnya akan diadakan pada Jumaat depan, 24 Ogos pukul 11.00 pagi.

Fahrorazi kini ditahan reman di Divisyen Polis Central. Jika sabit kesalahan, dia boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 10 tahun dan didenda.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan