Images
  • file chem exam
    Gambar fail pelajar menduduki peperiksaan GCE Peringkat 'A' 2017.

Kertas jawapan GCE 'A' yang dicuri: 75 daripada 238 pelajar terjejas akan duduki semula peperiksaan

SINGAPURA: 75 pelajar yang kertas jawapan mata pelajaran kimia peperiksaan peringkat GCE 'A' dicuri, memutuskan untuk menduduki semula peperiksaan itu.

Ini didedahkan oleh Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura hari ini (12 Mac) merujuk kepada kes curi kertas peperiksaan yang menjejas 238 pelajar.

Para pelajar berkenaan merupakan pelajar Maktab Rendah Anderson (AJC), Maktab Rendah Anglo-Chinese (ACJC), Institusi Hwa Chong (HCI) dan Maktab Rendah Nanyang (NYJC). Mereka menerima keputusan peringkat 'A' mereka pada 23 Februari 2018. Kertas jawapan yang dicuri adalah bahagian Kertas 3 yang terdiri daripada jawapan bebas dan ia membentuk 35 peratus daripada keputusan muktamad subjek tersebut.

Gred para pelajar yang terjejas ditetapkan berdasarkan unjuran yang dibuat. Namun, di bawah "keadaan yang tidak dijangkakan", para pelajar yang terjejas diberi pilihan untuk menduduki semula Kertas 3 H2 Kimia pada bulan depan atau November. Mereka kemudian boleh memilih gred yang lebih baik untuk dicatat dalam keputusan dan sijil mereka.

Mereka yang ingin menduduki semula peperiksaan itu perlu mendaftar sebelum Jumaat lalu (9 Mac).

AJC dan ACJC masing-masing mempunyai 28 pelajar yang ingin menduduki semula peperiksaan itu sementara HCI mempunyai 7 pelajar dan 12 lagi daripada NYJC.

57 calon memilih untuk menduduki semula peperiksaan itu pada bulan depan sementara 18 yang lain akan menduduki semula kertas itu pada November.

Kertas jawapan itu dicuri daripada van syarikat kiriman yang menghantar kertas-kertas itu kepada para pemeriksa untuk disemak di Britain. Pihak Cambridge menyatakan ia akan menyemak semula proses-proses bagi melindungi keselamatan kertas ujian dan kertas jawapan, dan "menjaga integriti peperiksaan negara kami". 

- CNA/AQ/aq

Top