Images
  • dewan ballroom
    Grand Mandarin Ballroom di Mandarin Orchard Singapura (Gambar: Meritus Hotels and Resorts)

Keracunan makanan Mandarin Orchard: Dewan 'ballroom' ditutup selepas 175 sakit

SINGAPURA: Operasi jamuan di dewan (ballroom) utama Mandarin Orchard Singapura digantung serta-merta setelah 175 terkena keracunan makanan. Sembilan daripada mereka dimasukkan ke hospital.

Demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Penguasa Agromakanan dan Veterinar (AVA) pada Rabu (5 Dis), yang juga menyatakan bahawa 175 kes itu membabitkan empat acara berbeza yang diadakan di Grand Ballroom Hotel Mandarin Orchard antara 1 hingga 3 Disember.

Sembilan orang mangsa dimasukkan ke hospital tetapi dalam keadaan stabil.

"Siasatan terhadap punca kejadian sedang dijalankan. Namun, memandangkan kemungkinan jangkitan dan semua kes terjejas menghadiri atau memakan jamuan di Grand Ballroom, NEA menggantung operasi dapur jamuan yang menghidangkan makanan untuk Grand Ballroom di Hotel Mandarin Orchard.

"(NEA) juga menuntutnya supaya membuang semua makanan sedia dimakan, makanan yang dicairkan dan ramuan makanan mudah rosak, serta menjalankan kerja-kerja pembersihan dan sanitasi menyeluruh premis-premisnya termasuk kelengkapan, perkakas, tempat kerja dan tandas," menurut kenyataan bersama pihak berkuasa.

Hotel tersebut juga diarahkan menutup Grand Ballroom untuk membersihkannya secara menyeluruh.

"Penutupan dan penggantungan tersebut akan berkuat kuasa sehingga NEA puas hati bahawa risiko kesihatan awam sudah ditangani," menurut kenyataan itu lagi.

KES PERTAMA DILAPORKAN PADA 4 DISEMBER

Menurut pihak berkuasa, mereka dimaklumkan tentang kes pertama keracunan makanan itu pada 4 Disember dan memulakan siasatan bersama pada hari yang sama.

Ini termasuk mengambil sampel makanan dan sekitaran untuk diuji. Pengendali makanan juga diarahkan menjalani pemeriksaan najis.

"Sejauh ini tiada kes yang dihubungkan dengan premis makanan dan minuman lain di Hotel Mandarin Orchard," menurut pihak berkuasa.

"Kami sudah memerika premis-premis tersebut dan juga bekerjasama dengan Hotel Mandarin Orchard untuk memastikan proses bagi dapur lain disemak. Pihak berkuasa akan terus memantau secara teliti premis-premis terlibat," tambah mereka.

"Para pegawai kami akan mengadakan pemeriksaan lanjut untuk memastikan premis-premis itu kekal bersih dan kakitangan dapur melaksanakan amalan kebersihan diri dan pengendalian makanan yang sewajarnya."

RESTORAN LAIN DALAM HOTEL TIDAK DIGANTUNG

Operasi jamuan di Grand Mandarin Ballroom digantung atas nasihat NEA atas "dasar kesihatan awam", menurut kenyataan Mandarin Orchard Singapura kepada Channel NewsAsia.

Hotel itu menambah bahawa penggantungan itu tidak dilanjutkan ke restoran-restoran dan tempat acara lain di situ dan dikekalkan "sehingga tarikh yang akan dimaklumkan dan selepas mendapat keizinan pihak berkuasa".

"Pasukan kami akan berhubung dengan semua penganjur acara yang terjejas untuk menguruskan atur cara alternatif dan membantu untuk memastikan agar keperluan dan kebimbangan mereka ditangani," menurut kenyataan hotel itu.

"Kami sedang berusaha untuk memulihkan keadaan dengan secepat mungkin dan akan terus memberi maklumat terkini."

Ini merupakan kes terbaru keracunan makanan secara beramai-ramai, selepas tiga kes berprofil tinggi lain dilaporkan pada November.

Tiga kes lain membabitkan pembekal makanan dari restoran Spize, TungLok dan FoodTalks Caterer and Manufacturer di mana sejumlah 400 orang menjadi mangsa dalam kes-kes tersebut. 

- CNA/TQ/tq

Top