Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kepuasan penumpang terhadap pengangkutan awam turun buat pertama kali dalam 4 tahun

Tahap kepuasan penumpang terhadap pengangkutan awam turun tahun lalu, sebahagian besarnya disebabkan penurunan tahap kepuasan terhadap khidmat MRT, menurut dapatan tinjauan oleh Majlis Pengangkutan Awam (PTC) pada Selasa (13 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 Feb 2018 01:34PM Dikemas Kini : 13 Feb 2018 10:45PM

SINGAPURA: Tahap kepuasan penumpang terhadap pengangkutan awam turun tahun lalu, sebahagian besarnya disebabkan penurunan tahap kepuasan terhadap khidmat MRT, menurut dapatan tinjauan oleh Majlis Pengangkutan Awam (PTC) pada Selasa (13 Feb).

Ia jatuh kepada 94.5 peratus tahun lalu, berbanding 96.4 peratus pada tahun 2017. Ini juga kali pertama dalam masa empat tahun, tahap kepuasan dilaporkan merosot.

Tahap kepuasan terhadap khidmat MRT jatuh kepada 91.8 peratus berbanding 96 peratus pada tahun 2016.

Purata markah kepuasan khidmat MRT juga turun kepada 7.5 daripada 10, turun dari 7.6 pada tahun 2016. Ini sebahagian besarnya disebabkan markah lebih rendah dari segi kekerapan, masa menunggu, keselesaan, masa perjalanan dan maklumat khidmat.

"Penurunan markah kepuasan purata bagi khidmat MRT ini adalah menyusuli insiden banjir di terowong pada 7 Oktober 2017 antara stesen MRT Bishan dan Braddell, serta kelengahan semasa tempoh percubaan yang dialami di Laluan Utara-Selatan sejak Mac 2017," menurut PTC.

Bagaimanapun, tinjauan berkenaan mendapati terdapat peningkatan pada markah daya akses stesen. PTC menyatakan ini mungkin didorong oleh pembukaan 20 stesen baru di Tuas West Extension dan Laluan Downtown 3.

Meskipun terdapat penurunan pada markah kepuasan bagi khidmat MRT, kepuasan purata bagi pengangkutan awam naik dari 7.6 pada tahun 2016 kepada 7.7 tahun lalu, menurut PTC. Peningkatan ini mungkin dirangsang oleh peningkatan yang berterusan bagi rating khidmat bas.

Kepuasan khidmat bas kekal pada 96.7 peratus. Markah kepuasan purata juga meningkat kepada 7.9 peratus berbanding 7.6 peratus pada tahun 2016.

Peningkatan itu sebahagian besarnya didorong oleh peningkatan bagi kesemua lapan ciri khidmat bas - masa menunggu, kekerapan khidmat, maklumat khidmat, pusat pertukaran bas/ daya akses perhentian bas, keselesaan, masa perjalanan, khidmat pelanggan dan keselamatan.

Ini adalah tahun kelima berturut-turut markah kepuasan secara purata meningkat bagi bas. PTC menyatakan ini mungkin dirangsang oleh beberapa faktor, termasuk kejayaan pelaksanaan Program Peningkatan Khidmat Bas selama lima tahun.

Penumpang kini boleh menikmati ketibaan bas yang lebih kerap dan mengikut jadual, ketersambungan bas yang ditingkatkan dan lebih banyak perjalanan yang selesa, dedah PTC.

Tinjauan Kepuasan Pelanggan Pengangkutan Awam dijalankan setiap tahun sejak tahun 2006. Bagi tinjauan terbaru, seramai 5,007 penumpang kerap bas dan MRT, berusia 15 tahun dan ke atas, dipilih secara rambang dan ditemu bual pada Oktober 2017 di pusat pertukaran bas, perhentian bas dan stesen MRT, semasa kedua-dua waktu sibuk (7.00 pagi hingga 9.00 pagi dan 5.00 petang hingga 7.00 malam) dan luar waktu sibuk.

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan