Images
  • goh yihan
    dekan sekolah undang-undang Universiti Pengurusan Singapura Goh Yihan.

Kepalsuan online disengajakan: Undang-undang S'pura cukup bagi tangani ancaman?

SINGAPURA: Terdapat beberapa alat-alat dalam rangka kerja perundangan yang boleh digunakan untuk menangani kepalsuan online yang disengajakan, tetapi apabila alat-alat ini digunakan dalam situasi dunia nyata ia "akan berdepan dengan had skop, kecekapan dan penyesuaian", kata dekan sekolah undang-undang Universiti Pengurusan Singapura Goh Yihan dalam perwakilannya bertulis kepada jawatankuasa pilihan yang meninjau isu tersebut.

Dalam keterangan bertulis yang diterbitkan dalam laman web Parlimen hari ini (14 Mac), beliau menekankan bahawa alat-alat perundangan di sini boleh digunakan untuk memberikan respons kepada penyebaran kepalsuan online yang disengajakan, dan menyatakan ia boleh menangani isu tersebut dengan sekurang-kurangnya tiga cara.

Pertama, penyebaran kepalsuan online yang disengajakan boleh diambil kira sebagai satu kesalahan jenayah menerusi pelbagai peruntukan, dan antaranya adalah Seksyen 45 Akta Telekomunikasi, Seksyen 4 Akta Hasutan, Seksyen 26 Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Seksyen 298 dan 298A Kod Jenayah.

Ini semua menangani para individu yang bertanggungjawab menyebar kepalsuan online yang disengajakan, bukan hanya kepalsuan sahaja, kata beliau.

Kedua, adalah tindakan kehakiman - seperti perintah mahkamah - ini menangani kepalsuan online dan bukan orangnya. Contohnya, seorang boleh memohon bantuan di bawah Seksyen 15 Akta Perlindungan daripada Gangguan (POHA) untuk mengetepikan kepalsuan, kata Encik Goh.

Ketiga, ada tindakan-tindakan eksekutif yangboleh diambil Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) di bawah Akta Penyiaran, dan ini berbeza dengan tindakan kehakiman, boleh dilakukan tanpa ke mahkamah, kata beliau.

HAD YANG ADA PASA MASA INI

Encik Goh kemudian menggunakan alat-alat ini dan mengujinya dengan menggunakan kes-kes kepalsuan online yang disengajakan yang terjadi di dunia nyata seperti Taufan Irma, dan khususnya cerita Cik "Rebecca Riviera".

Dia seorang penduduk Saint-Martin di wilayah Perancis yang terjejas oleh bencana alam itu, dan selepas itu beliau mendakwa di Facebook bahawa syarikat penerbangan Air France menaikkan harga tiketnya kepada €2,500 sebelum bencana itu berlaku. Dia turut mendakwa bahawa taufan tersebut meragut nyawa ribuan orang dengan puluhan mayat terapung di jalan raya, dan salah satu video mengenai dakwaan palsunya itu ditonton lebih lima juta kali, kata dekan undang-undang, yang turut menambah dakwaan-dakwaan itu semua adalah palsu.

Dari segi undang-undang jenayah di negara ini, Encik Goh berkata Seksyen 45 Akta Telekomunikasi boleh digunakan hanya jika boleh dibuktikan bahawa "Rebecca Riviera" tahu bahawa maklumat yang diberikannya adalah palsu. ISA boleh digunakan juga berdasarkan kepalsuan mengenai kesan Taufan Irma yang boleh mengakibatkan kecemasan orang ramai, kata beliau.

Namun demikian, sebelum proses dakwaan jenayah dimulakan, beliau berkata siasatan harus dijalankan untuk mengenal pasti identiti "Rebecca Riviera", dan ini akan memakan masa. Juga terdapat kemungkinan identiti itu tidak akan dapat dikenal pasti, atau sama ada akaun tersebut dikendalikan oleh bot sosial, menurut Encik Goh.

Beliau turut menambah bahawa meskipun "Rebecca Riviera" diberkas kerana menyebarkan kepalsuan, maklumat palsu ini akan kekal online. Tiada cara bagi memastikan orang ramai tahu akan fakta-fakta sebenar.

Salah satu anggota jawatankuasa, Encik Edwin Tong, meminta beliau untuk menjelaskan lagi mengapa undang-undang yang sedia ada tidak dapat menangani kepalsuan online yang disengajakan semasa pembentangan lisan hari ini (14 Mac).

Encik Goh menjelaskan terdapat tiga ciri-ciri kepalsuan: Ianya rentas sempadan, sama ada dari segi geografi mahupun vitual, ianya cepat dan senang disebarkan, dan terdapat akibat yang serius yang tidak dapat diperbaiki.

Mana-mana undang-undang, saran dekan undang-undang itu, seharusnya "menghukum dan mengelakkan", "mengekang penyebaran" kepalsuan online yang disengajakan dan harus "memperbaiki akibat".

Dengan itu, Encik Goh berkata semasa respons beliau kepada seorang lagi anggota Jawatankuasa Pilihan, Cik Chia Yong Yong, bahawa undang-undang bukan hanya satu-satunya cara menangani isu ini, "Kita harus mengimbangi undang-undang dengan pendidikan juga mendekati masyarakat-masyarakat yang berbeza," kata beliau.

MEMPERKASAKAN ORANG RAMAI

Perspektif beliau sama seperti pandangan penyelidik Institut Kajian Dasar (IPS) Carol Soon dan Shawn Goh semasa pembentangan pertama.

Dalam perwakilan bertulis kedua-duanya, mereka melakarkan tiga bidang kuasa bukan pemerintah, yang boleh menangani isu ini: Peraturan diri sendiri, semakan fakta dan pembacaan kritikal.

Bagi peraturan diri sendiri, mereka berkata bahawa langkah utamanya adalah bagi syarikat-syarikat teknologi melakukannya dengan menggunakan kemahiran teknikal bagi tangani masalah "yang mereka juga menyebabkannya". Mereka sudah melakukannya, dengan Twitter melakukan perubahan terhadap antara muka program aplikasi (API) yang menghalang pengguna daripada melakukan kegiatan menggunakan pelbagai akaun, sementara langkah terbaru Facebook pula menyingkirkan penerbit berita dalam "News Feed" pengguna, kata para pengkaji itu.

Dr Soon dan Encik Goh juga menyentuh lebih lanjut mengenai pembacaan kritikal, dengan ia bukan sekadar mengenal pasti ciri-ciri kepalsuan online.

Ia mengenai mempersoalkan kandungannya, sumber dan agenda sumber berkenaan, dan membuat orang ramai sedar cara ruang online digunakan dan bagaimana kesan seperti mengulang-ulanginya memperbesarkan perkara berat sebelah dan menghalang mereka daripada menilai maklumat yang ditemui online.

"Dalam jangka masa panjang, dengan memberikan rakyat pemikiran dengan cara kritikal ia akan mempertingkatkan 'kekebalan' mereka daripada pelbagai maklumat palsu yang terdapat dalam ekologi maklumat," menurut pengkaji IPS.

"Lebih penting lagi, adalah meningkatkan pembacaan kritikal orang ramai bagi mempersiapkan mereka terhadap cabaran pada masa depan, yang kita tidak boleh bayangkan pada masa kini."  

- CNA/FA/fa

Top