Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kenyataan penuh Khaw Boon Wan berhubung pencerobohan M'sia ke perairan wilayah S'pura

Singapura tidak akan teragak-agak untuk mengambil "tindakan tegas" terhadap pencerobohan di perairannya, menurut Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan pada Khamis (6 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Kenyataan penuh Khaw Boon Wan berhubung pencerobohan M'sia ke perairan wilayah S'pura

Sempadan Singapura dekat dengan selatan Johor (kanan). (Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 07 Dec 2018 01:05AM Dikemas Kini : 07 Dec 2018 01:14AM

SINGAPURA: Singapura tidak akan teragak-agak untuk mengambil "tindakan tegas" terhadap pencerobohan di perairannya, menurut Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan pada Khamis (6 Dis).

Dalam kenyataan berhubung pencerobohan oleh kapal-kapal kerajaan Malaysia ke dalam perairan Singapura dekat Tuas, Encik Khaw berkata setakat ini 14 pencerobohan seumpama itu sudahpun dilakukan. Memandangkan wujud provokasi baru-baru ini, Singapura sudahpun memperluaskan had pelabuhannya dekat Tuas, kata beliau.

Ini kenyataan penuh Encik Khaw pada Khamis (6 Dis):

Encik Khaw Boon Wan berucap di sidang media bagi mengulas tentang peluasan had pelabuhan Johor Bahru. (Gambar: Jeremy Long)

(Gambar: Jeremy Long)

Pada 1979, Malaysia menerbitkan peta yang menunjukkan had wilayah perairan yang dimilikinya. Ini termasuk tuntutannya ke atas Pedra Branca, serta kawasan-kawasan berhampiran bahagian timur dan barat Singapura. Had sempadan yang dituntut Malaysia di perairan barat Singapura melintasi had pelabuhan Singapura.

Singapura mengemukakan bantahan kepada Malaysia untuk menolak tuntutannya ke atas Pedra Branca. Singapura juga menyatakan secara mutlak sempadan baru itu melanggar kedaulatan Singapura dan tidak boleh diterima Singapura.

Bagaimanapun, pada 1987, Malaysia meneruskan tindakan menerbitkan Had Pelabuhan Johor Bahru menyusuli sempadan yang dituntut ini. Pada 1999, negara itu membuat sedikit perubahan kepada had pelabuhan tersebut.

Sejak itu, selama 20 tahun, Had Pelabuhan Johor Bahru 1999 kekal utuh. Kedua-dua Had Pelabuhan Johor Bahru 1987 dan 1999 betul-betul kekal dalam sempadan wilayahnya, seperti mana yang dituntut Malaysia sejak 1979.

Bagaimanapun pada 25 Okt 2018, Malaysia mengeluarkan Warta Kerajaan Persekutuan P.U. (B) 587 "Pengisytiharan Perubahan Had Pelabuhan bagi Pelabuhan Johor Bahru". Ini secara sepihak dan sewenang-wenangnya, memperluaskan Had Pelabuhan Johor Bahru.

Jauh sekali daripada fakta yang mana Singapura tidak pernah bersetuju dengan tuntutan wilayah Malaysia pada 1979, peluasan yang disebut baru-baru ini menjangkaui lebih daripada apa yang dituntut Malaysia sendiri sebagai perairan wilayahnya.

Sejak 1999 sekurang-kurangnya, Singapura sudahpun melaksanakan bidang kuasanya di perairan itu yang kini di bawah peluasan Had Pelabuhan Johor Bahru baru-baru ini. Kami sudah melakukan rondaan secara tetap ke atas kawasan itu, dan membantah sebarang pencerobohan atau kegiatan tidak dibenarkan.

Malaysia tidak pernah membuat tuntutan ke atas perairan ini, atau membantah tindakan kami di sana. Sekarang, secara tiba-tiba, Malaysia menuntut perairan wilayah ini, yang dimiliki Singapura. Tanpa sebarang rujukan, Malaysia sedang mencuba merubah secara sepihak status quo yang sudah lama wujud di kawasan itu.

Ini provokasi terang-terangan dan pelanggaran serius terhadap kedaulatan kami dan undang-undang antarabangsa.

Pada 5 Nov 2018, Singapura mengeluarkan Nota Pihak Ketiga (TPN) melalui 'demarche', dengan meminta Malaysia segera merubah Warta Kerajaan Persekutuan bagi mencerminkan kedaulatan Singapura ke atas perairan ini. Pada 9 Nov 2018, saya mengemukakan isu ini dengan rakan sejawatan saya Menteri Anthony Loke di Bangkok.

(Gambar: Anthony Loke Siew Fook/Facebook)

(Gambar: Anthony Loke Siew Fook/Facebook)

Walaupun kami membantah, Jabatan Laut Malaysia tetap menerbitkan Pekeliling Pelabuhan Nombor 88/2018 bertarikh 11 Nov 2018, dan Notis kepada Pelaut Nombor 164/2018 bertarikh 22 Nov 2018. Kedua-dua dokumen memaklumkan masyarakat perkapalan mengenai Had Pelabuhan Johor Bahru yang diperluaskan.

Tindakan susulan ini menunjukkan Malaysia tidak mengendahkan TPN kami sebelum ini. Oleh itu Singapura mengeluarkan TPN kedua melalui 'demarche' pada 29 Nov 2018 bagi membantah Pekeliling Pelabuhan dan Notis kepada Pelaut.

Sejak itu, Kapal-Kapal Kerajaan Malaysia terus-menerus menceroboh ke dalam Perairan Wilayah Singapura dekat Tuas. Setakat ini 14 pencerobohan sudahpun dilakukan. Singapura sudah membantah pencerobohan berulang ini melalui tiga TPN.

Semalam (5 Dis 2018), Malaysia mengeluarkan kenyataan media yang berhujah Singapura tidak boleh menuntut kawasan itu sebagai perairan wilayah tersebut disebabkan kerja-kerja tambakan di Tuas sejak beberapa tahun lalu.

Pada 1979, apabila Malaysia menerbitkan petanya, ia tidak membuat rundingan dengan Singapura sebelum memutuskan sempadan tuntutan wilayah. Malah, pada 1979 tiada tambakan di Tuas sedang dilakukan. Oleh itu tuntutan wilayah sepihak oleh Malaysia pada 1979 (yang kami tidak iktiraf) tidak mungkin mengambil kira sebarang kerja tambakan di Singapura. Had Pelabuhan Johor Bahru yang baru itu menjangkau sempadan tuntuan wilayah Malaysia sendiri, dan kapal-kapal Malaysia sudah melintasi sempadan ini untuk memasuki perairan Singapura.

Semalam Malaysia juga memberi jawapan kepada TPN pertama Singapura yang dikeluarkan bulan lalu (pada 5 Nov 2018). Dalam jawapannya, Malaysia tidak setuju bahawa Had Pelabuhan Johor yang diubah itu memasuki Perairan Wilayah Singapura dekat Tuas, dan menekankan Kapal-Kapal Kerajaan Malaysia sedang melakukan rondaan di perairan wilayah Malaysia.

Gambar MV Polaris yang dimuat naik ke satu laman Facebook. (Gambar: Abi Muaz Al Buduwi/Facebook)

MV Polaris dipercayai masih di perairan wilayah Singapura. (Gambar: Abi Muaz Al Buduwi/Facebook)

Jawapan Malaysia juga mencadangkan para pegawai daripada kedua-dua pihak bertemu untuk mencapai huraian damai. Singapura dengan mudah menerimanya dan akan mengikuti perkembangannya.

Sudah menjadi pendirian kami, sejak Malaysia menerbitkan peta pertamanya pada 1979, bahawa sempadan di kawasan ini hanya boleh mencapai huraian dengan mematuhi undang-undang dan amalan antarabangsa, menerusi rundingan antara pemerintah dan kerajaan yang terlibat. Sehubungan itu, kapal-kapal Kerajaan Malaysia harus berhenti menceroboh dan kembali kepada status quo sebelum 25 Okt 2018.

Agensi-agensi keselamatan kami akan terus melakukan rondaan di kawasan itu, dan memberi respons kepada kegiatan tidak berlesen di situ. Setakat ini mereka tidak memberi respons terhadap tindakan ganas oleh Kapal-Kapal Kerajaan Malaysia.

Bagaimanapun Singapura tidak boleh membenarkan kedaulatan kami dilanggar, atau fakta-fakta baru diwujudkan. Oleh itu, jika perlu, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pencerobohan dan kegiatan berlesen di perairan kami bagi melindungi wilayah dan kedaulatan kami.

Negara-negara memang ada melakukan perubahan kepada had pelabuhan mereka dari semasa ke semasa. Bagaimanapun mereka harus berbuat demikian dengan cara yang tidak melanggar undang-undang antarabangsa, atau melanggar kedaulatan negara lain. Singapura pernah membuat perubahan kepada had pelabuhan kami sebelum ini. Kali terakhir kami melakukan demikian adalah pada 1997.

Peluasan ini tetap dalam Perairan Wilayah Singapura, dan mengikut sempadan timur Had Pelabuhan Johor Bahru 1999. Warta itu berkuat kuasa hari ini.

Pelanggaran kedaulatan Singapura adalah isu baru serius dalam hubungan dua hala kami dengan Malaysia. Singapura berusaha mewujudkan hubungan muhibah dan kerjasama lebih kukuh dengan Malaysia. Perdana Menteri Mahathir baru sahaja melakukan lawatan ke Singapura pada November, dan mengadakan perbincangan yang membuahkan hasil dengan Perdana Menteri Lee.

PM Lee mengutarakan isu ini dengan PM Mahathir, sebagai satu isu yang boleh menjejas hubungan dua hala kami. Malangnya, perkembangan lanjut sejak itu membuat keadaannya menjadi semakin serius.

PM Malaysia Mahathir Mohammad berjabat tangan dengan PM Lee semasa pertemuan di Istana, di luar Sidang Puncak ASEAN pada 12 Nov 2018. (Gambar: Feline Lim/AFP)

(Gambar fail: Feline Lim/AFP)

Kedudukan kami dengan Malaysia sentiasa jelas dan konsisten.

  1. Kami berpegang teguh kepada undang-undang antarabangsa dan menghormati perjanjian dua hala.
  2. Kami akan melindungi kedaulatan wilayah Singapura. Singapura tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pencerobohan dan kegiatan tidak sah di perairan kami.

Saya berasa amat sedih dengan perkembangan ini. Setelah 40 tahun dalam Pemerintah, saya tidak dapat mengelak perasaan 'déjà vu'.

Apabila saya membincangkan Projek Kereta Api Laju (HSR) dengan Menteri Azmin Ali, saya betul-betul dapat merasakan Menteri-Menteri muda di Malaysia mahukan hubungan segar dengan Singapura, tanpa dibelenggu sejarah silam. Banyak yang boleh kita raih dengan bekerjasama.

Saya yakin rakyat dari kedua-dua belahan Koswe juga mengharapkan pucuk pimpinan lebih muda di kedua-dua negara untuk bekerjasama bagi masa depan yang lebih cerah dan saling menguntungkan. Itulah sebabnya bagi Projek HSR, kami tidak memilih untuk menggunakan hak guaman sepenuhnya berhubung Perjanjian Dua Hala yang diberikan kepada Singapura.

(Gambar: MyHSR)

(Gambar: MyHSR)

Sebaliknya, Singapura mendapatkan cara alternatif bagi membolehkan Malaysia menangguhkan Projek HSR atas semangat kerjasama dua hala.

Meskipun begitu, saya tetap berasa optimis. Kami masih mahukan hubungan dua hala yang baik dan berharap kami dapat bekerjasama dalam mencari huraian aman bagi isu-isu ini.

Namun rakyat Singapura harus benar-benar sedar akan perkembangan-perkembangan ini. Meskipun kita mahu menjalinkan kerjasama dan persahabatan dengan negara-negara lain, kita tidak harus membiarkan negara lain mengambil kesempatan ke atas kita.

Apabila kepentingan negara kita dicabar, kita harus secara tenang tetapi dengan teguh berpegang kepada pendirian kami dan terus bersatu sebagai satu rakyat.

Sumber : CNA/IM/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan