Images
  • doc
    Tandatangan Presiden Amerika Syarikat Donald J. Trump dan Pengerusi Korea Utara Kim Jong Un. (Gambar: Saul Loeb/ AFP)

Kenyataan Bersama Presiden Trump, Kim Jong Un di Sidang Puncak S'pura

SINGAPURA: Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un pada Selasa (12 Jun) mengesahkan 'komitmen teguhnya untuk melucutkan sepenuhnya senjata nuklear di Semenanjung Korea'.

Demikian dinyatakan dalam perjanjian bersama yang ditandatangani oleh Encik Kim dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di sidang puncak bersejarah di Singapura.

Berikut adalah kandungan penuh dokumen itu:

Presiden Amerika Syarikat Donald J. Trump dan Pengerusi Korea Utara Kim Jong Un mengadakan sidang puncak bersejarah di Singapura pada 12 Jun 2018.

Presiden Trump dan Pengerusi Kim Jong Un saling bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu berkaitan dengan hubungan baru antara Amerika Syarikat dengan Korea Utara, sambil memeterai perjanjian damai yang berkekalan di Semenanjung Korea. Presiden Trump komited untuk menawarkan jaminan keselamatan kepada Korea Utara, dan Pengerusi Kim Jong Un pula mengesahkan komitmen teguhnya untuk melucutkan sepenuhnya senjata nuklear di Semenanjung Korea.

Yakin hubungan baru Amerika Syarikat - Korea Utara akan membawa kepada keamanan dan kemakmuran di Semenanjung Korea dan seluruh dunia, dan mengiktiraf bahawa kepercayaan bersama akan dapat menggalak pelucutan senjata nuklear di Semenanjung Korea, Presiden Trump dan Pemimpin Kim Jong Un menegaskan beberapa perkara di bawah:


1. Amerika Syarikat dan Korea Utara komited untuk menjalin hubungan baru Amerika Syarikat - Korea Utara, seiring dengan keinginan rakyat kedua-dua negara untuk menikmati keamanan dan kemakmuran.

2. Amerika Syarikat dan Korea Utara akan berusaha untuk sama-sama mencapai keamanan yang berkekalan di Semenanjung Korea.

3. Mengesahkan Perisytiharan Panmunjom pada 27 April 2018, Korea Utara komited untuk melucutkan sepenuhnya senjata nuklear di Semenanjung Korea.

4. Amerika Syarikat dan Korea Utara komited untuk memulangkan mayat dan jasad tahanan perang dan mereka yang dilaporkan hilang setelah identiti mereka dikenal pasti.

Mengiktiraf bahawa sidang puncak Amerika Syarikat - Korea Utara -- adalah yang pertama dalam sejarah - selepas sekian lama bermusuhan dan bertekad untuk membuka lembaran baru, Presiden Trump dan Pengerusi Kim Jong Un komited untuk melaksanakan syarat-syarat yang dipersetujui.

Amerika Syarikat dan Korea Utara komited untuk mengadakan rundingan susulan yang diterajui oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo, dan pegawai kanan Korea Utara yang relevan, pada tarikh seawal mungkin untuk melaksanakan apa yang dipersetujui semasa sidang puncak Amerika Syarikat - Korea Utara.

Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump dan Pengerusi Korea Utara Kim Jong Un juga komited untuk saling bekerjasama bagi membina hubungan baru Amerika Syarikat - Korea Utara dan menggalak keamanan, kemakmuran, serta keselamatan di Semenanjung Korea dan seluruh dunia. 

- CNA/NA/na

Top