Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kemudahan kajian baru sasar hasilkan produk makanan lebih sihat di Asia

Sebuah makmal penyelidikan baru yang menumpukan kepada menghasilkan produk makanan lebih sihat bagi pelanggan Asia ditubuhkan hari ini (19 Jun), dengan tujuan meneroka alternatif lebih berkhasiat seperti protin tumbuhan dan minyak masak rendah kolesterol.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 19 Jun 2018 05:52PM Dikemas Kini : 19 Jun 2018 09:59PM

SINGAPURA: Sebuah makmal penyelidikan baru yang menumpukan kepada menghasilkan produk makanan lebih sihat bagi pelanggan Asia ditubuhkan hari ini (19 Jun), dengan tujuan meneroka alternatif lebih berkhasiat seperti protin tumbuhan dan minyak masak rendah kolesterol.

Dibangunkan bersama oleh kumpulan perniagaan tani Wilmar dan Universiti Nasional Singapura (NUS) serta Yayasan Kajian Nasional (NRF), kemudahan bernilai S$110 juta itu merupakan antara yang pertama menjalankan penyelidikan tentang tabiat makan dalam kalangan penduduk Asia bagi menangani penyakit berhubung gaya hidup seperti kegemukan dan kencing manis di Singapura dan rantau ini.

Dengan lebih 400,000 rakyat Singapura menghidapi kencing manis, hasil kajian makmal tentang kesan makanan ke atas kesihatan - terutama sekali kajian yang dikhususkan kepada komposisi genetik penduduk Singapura - akan membantu negara ini memenangi perang menentang kencing manis, kata Pengerusi Yayasan Kajian Nasional Heng Swee Keat di pelancaran makmal berkenaan.

"Perubahan paradigma dalam sektor makanan mencipta satu trend baru yang melihat 'makanan sebagai ubat'," kata Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Wilmar Kuok Khoon Hong, sambil merujuk kepada "minyak masak rekaan khas" bagi warga tua dan mereka yang menghidapi penyakit metabolik.

Makmal Korporat WIL@NUS itu juga akan menumpukan perhatian kepada mereka teknologi hijau bagi menghasilkan produk pelanggan yang digunakan di industri seperti makanan dan nutrisi serta perisa dan haruman. Ia bermatlamat untuk meghasilkan 11 produk makanan lebih sihat dan melatih lebih 60 penyelidik dan penuntut PhD dalam makanan dan pemakanan serta industri yang berkaitan dengan biologi sintetik dalam tempoh lima tahun akan datang.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan