Images
  • pump well scdf
    Perigi pam di mana berlakunya insiden lemas Korporal Kok Yuen Chin (kiri). Balai Bomba Tuas View (kanan). (Gambar: SCDF, Mediacorp)

Kematian NSF SCDF: AGC semak kes dengan pandangan mulakan prosiding jenayah

SINGAPURA: Prosiding jenayah mungkin akan dijalankan terhadap mereka yang didapati bertanggungjawab atas insiden lemas anggota Perkhidmatan Negara (NSF) sepenuh masa Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

"Pejabat Peguam Negara juga sedang menyemak kes dengan pandangan prosiding jenayah," menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam kenyataan medianya pada Rabu (16 Mei).

MHA turut menyatakan kedua-dua anggota SCDF sepenuh masa yang ditangkap berhubung insiden berkenaan akan direhatkan daripada perkhidmatan dan diberi separuh gaji, sementara menantikan hasil siasatan polis.

Kenaikan pangkat empat lagi pegawai yang sedang disiasat akan ditangguhkan buat sementara waktu. Mereka sepatutnya akan dinaikkan pangkat pada 1 Jun.

MHA juga mendedahkan Lembaga Siasatan yang akan menyiasat insiden tersebut, bakal dipengerusikan seorang pengarah kanan dari Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI). Lembaga Siasatan juga akan merangkumi anggota yang bukan dari MHA atau SCDF.

Dalam mesej kepada pegawai SCDF pada Rabu, Pesuruhjayanya Eric Yap menggariskan pentingnya tanggungjawab komand dalam pasukan itu, dan menekankan dasar toleransi sifar terhadap kegiatan permulaan atau mendera untuk bersuka-suka atau "ragging" yang tidak diluluskan.

"Komander diberikan tanggungjawab untuk menjaga lelaki dan wanita yang mempertaruhkan nyawa mereka setiap hari. Adalah tanggungjawab kami untuk memastikan mereka tidak diapa-apakan atau direndahkan maruah oleh tindakan orang lain," katanya.

Beliau juga berkata Unit Komander akan dipertanggungjawabkan dan bertanggungjawab atas sebarang kegiatan permulaan atau "ragging" oleh mana-mana kakitangan di bawah jagaan mereka.

- CNA/IM/im

Top