Images
  • razak maricar muis
    Ketua Eksekutif MUIS, Abdul Razak Maricar. (Gambar: MUIS)

Kemajuan besar dalam sektor pendidikan Islam, sosioagama satu kepuasan buat CE MUIS yang bakal bersara

SINGAPURA: Rangkaian kukuh yang terjalin antara pemimpin silang agama di sini membawa kepada kerjasama lebih erat bagi menangani isu-isu semasa.

Dengan hubungan silang agama diancam insiden pengganasan berbaur agama, Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) yang bakal bersara, Encik Abdul Razak Hassan Maricar berkata peranan badan berkanun itu dalam menerajui usaha ke arah peningkatan pemahaman antara agama - satu pencapaian yang amat beliau banggakan sepanjang berkhidmat dalam badan berkanun itu sejak 2013.

Encik Abdul Razak berkongsi demikian dalam wawancara bersama media pada Selasa (4 Dis) selepas beliau diumumkan akan bersara dari Perkhidmatan Awam pada 31 hari bulan ini.

Encik Abdul Razak menyusur perjalanan beliau bersama MUIS dan mengimbas detik-detik penting sumbangannya selama lebih 11 tahun dalam badan tersebut.

PUAS BERKHIDMAT UNTUK MASYARAKAT ISLAM

Encik Abdul Razak berkata MUIS kini berada dalam kedudukan yang kukuh dan mampu berdiri sama tinggi dengan agensi-agensi pemerintah yang lain.

Sepanjang tempoh khidmatnya di MUIS, Encik Abdul Razak menyelia banyak inisiatif penting termasuk pindaan perundangan kepada Akta Pentadbiran Hukum Islam (AMLA) dan Peraturan Perkahwinan dan Perceraian Muslim pada tahun 1999.

Pembangunan masyarakat Melayu/Islam dari segi pendidikan agama juga salah satu keutamaan beliau selaku Setiausaha MUIS dan seterusnya sebagai CE bagi memenuhi aspirasi masyarakat yang mahukan pendidikan agama yang kukuh.

Dalam hal ini, beliau amat berbesar hati
menyaksikan kemajuan besar dalam sektor pendidikan Islam menerusi sambutan memberangsangkan di madrasah atau secara sambilan di masjid, badan Islam atau pusat swasta.

"Jadi ini adalah satu kepuasan untuk saya di mana saya rasa yakin bahawa masyarakat Melayu/Islam mahu menyokong dan mengiktiraf peranan MUIS dalam memperkasa serta memperkuatkan institusi-institusi sosiagama kita," ujar beliau.

SELIA INISIATIF-INISIATIF PENTING BANGUNKAN ASATIZAH, PEMIMPIN AGAMA ISLAM S'PURA

Inisiatif Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) yang dilancarkan pada 2005 bersama PERGAS, menerima pengiktirafan sebagai satu skim yang inovatif Julai lalu.

Menurut Encik Abdul Razak, hampir 4,000 asatizah sudah berdaftar di bawah ARS dan usaha MUIS itu telah menaik taraf asatizah sebagai sumber rujukan berwibawa bagi masyarakat Muslim Singapura.

Bagi masyarakat umum pula ia memberi keyakinan bahawa semua guru agama dalam senarai ARS terlatih dan berkelayakan.

"Tidak boleh dinafikan, asatizah selaku pendidik dan pembimbing mempunyai peranan kritikal dalam mencorak kehidupan keagamaan masyarakat kita. Sungguhpun skim ini amat rumit, saya bangga dapat bekerjasama dengan PERGAS dalam melakarkan dasar dan pelaksanaan skim ini. Ini adalah satu kepuasan dan pencapaian dalam usaha kerjasama, pembangunan dan pengiktirafan asatizah." luah Encik Abdul Razak.

Semasa tempoh kepimpinan beliau juga, tercetusnya idea bagi penubuhan Kolej Islam di Singapura.

Sememangnya soal pendidikan dan pembangunan sosio-agama masyarakat Melayu/Islam amat dekat di hati Encik Abdul Razak. Ketika bertugas di kementerian, beliau diibatkan dalam merangka dan menubuhkan Dana Amanah Pendidikan (ETF) yang dikelolakan MENDAKI serta peluasaan Dana Pembinaan Masjid dan MENDAKI (MBMF).

"Ini melibatkan tambahan kepada sumbangan bulanan MBMF daripada setiap pekerja masyarakat Islam. Dengan sokongan ini, kami dapat menggunakan tambahan dana yang ada untuk memperkuatkan pendidikan madrasah sepenuh masa, menaik taraf masjid-masjid yang usang dan sebagainya serta untuk membina masjid-masjid baru," ulas Encik Abdul Razak.

JANGKAKAN CABARAN, BERTINDAK SEBELUM IA MENJADI SATU ISU

Dengan pengunduran beliau daripada Perkhidmatan Awam pada 31 Disember 2018 di usia 64 tahun, Encik Abdul Razak melahirkan harapan agar asas kukuh dan pencapaian yang dinikmati MUIS bukan sahaja dapat digilap malah dikaji semula dari semasa ke semasa agar ia boleh kekal relevan dan terus mendatangkan kemaslahatan buat masyarakat.

Pesan beliau bagi pasukan pengurusan di MUIS: "Saya ingin ingatkan kepada rakan-rakan saya di MUIS supaya selalulah melihat apakah cabaran yang akan datang. Kita harus berfikiran jauh dan memandang ke hadapan serta juga menilai apakah strategi, apakah pengisian masyarakat yang kita perlukan untuk masa hadapan."

Meski bersara daripada Perkhidmatan Awam, Encik Abdul Razak akan terus menyumbang kepada masyarakat sebagai Anggota Majlis Tertinggi MUIS. 

- BERITAmediacorp/tq

Top