Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kedai-kedai mula tarik balik penjualan ubat buah tunjuk langit

Sebilangan kedai mula hentikan penjualan ubat tradisional 'buah tunjuk langit' yang dikatakan boleh mengawal darah tinggi dan kencing manis. Ini walaupun penjualannya belum lagi dilarang pihak berkuasa. 

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sebilangan kedai sudahpun mula menghentikan penjualan ubat tradisional buah tunjuk langit, walaupun belum ada larangan penjualan daripada pihak berkuasa.

Langkah ini diambil setelah Penguasa Sains Kesihatan (HSA) minggu lalu mengeluarkan amaran kepada para pengguna tentang masalah kesihatan yang timbul ekoran pemakanan ubat tersebut.

HSA menyatakan, tujuh kes kecederaan organ hati dilaporkan sejak tiga tahun kebelakangan ini setelah memakan buah tunjuk langit secara langsung ataupun dalam bentuk kapsul.

Sebahagian pesakit lain pula mengalami kecederaan pada buah pinggang manakala seorang pesakit lain mengalami sakit-sakit sendi akibat pengambilan ubat buah tunjuk langit.

TOKO WARISAN HENTI JUAL UBAT TUNJUK LANGIT DI 9 CAWANGANNYA

Ekoran amaran yang dikeluarkan HSA Selasa lalu (11 Dis) terhadap risiko memakan produk tersebut, kedai seperti Toko Warisan misalnya memutuskan menarik balik penjualan ubat tersebut.

Ia memberitahu BERITAmediacorp, sembilan cawangannya di serata Singapura kini tidak lagi menjual barangan tersebut, yang juga dikenali sebagai biji mahogany atau biji Swietenia macrophylla.

Ubat tersebut lazim digunakan di Asia Tenggara dan dikatakan mampu mengawal tekanan darah tinggi dan gula dalam darah. Bagaimanapun HSA menekankan bahawa "tiada kajian klinikal ke atas manusia yang menyokong keberkesanannya atau keselamatan" menggunakannya.

Wadah Carousell menjual tunjuk langit

Petikan skrin Carousell

Bagi ubat tunjuk langit, ia juga terus dijual di wadah online seperti Carousell, dan qoo10.

MASIH BANYAK KEDAI MENJUALNYA

Sungguhpun kedai seperti Toko Warisan tidak lagi menjualnya sebagai langkah berjaga-jaga, tinjauan BERITAmediacorp di Geylang Serai mendapati masih terdapat banyak kedai lain yang menjualnya.

Malah, sebilangan pembeli yang kami temui mengaku bahawa mereka tidak tahu tentang amaran HSA berhubung ubat tersebut. Malah ada yang secara jujur berkongsi bahawa mereka memang merasa semacam kesan sampingan setelah memakan ubat berkenaan.

Buah tunjuk langit (Gambar: HSA)

"Cik makan itu, jantung cepat," kongsi seorang wanita di kawasan Geylang Serai tentang kesan terhadap jantungnya itu.

Wanita tersebut menambah bahawa doktor kemudian berkata bahawa beliau tidak boleh menggunakannya.

Seorang lagi pengguna yang kami temui bernama Cik Jamilah Kasran, juga pernah memakan ubat tunjuk langit "untuk kencing manis, kencing manis, darah tinggi". Sungguhpun pernah memakannya, beliau tidak memakannya secara berterusan.

"Orang kata 'cuba'. Buahnya memang pahit, terlalu pahit sebab dia pahit, Cik tak makan," kongsi Cik Jamilah lagi.

PARA DOKTOR BERI AMARAN RISIKO YANG PERLU DIAMBIL KIRA

Mengulas respons-respons sedemikian, para doktor yang BERITAmediacorp temui menekankan, betapa para pengguna khususnya golongan yang berpenyakit atau sudah lanjut usia, perlu lebih berhati-hati kerana terdedah kepada alahan dan sebagainya.

Buah tunjuk langit dalam bentuk kapsul (Gambar: HSA)

Kapsul ubat buah tunjuk langit (Gambar-gambar: HSA)

"Memang orang yang ada sakit kronik mungkin dia punya hati sudah sedikit lemah. Mungkin mereka telah makan ubat-ubat kolestrol yang kita beri nama statin. Mungkin ada alahan pada orang-orang yang tersebut. Ada yang boleh makan, ada yang tidak boleh makan," jelas doktor keluarga di Balkis Family Clinic, Dr Balkis Akbar Ali.

"Jadi kita harus tahu kalaulah kita ada sakit-sakit kronik, mungkin biji-biji ini tidak boleh dimakan seperti oleh orang biasa."

Menurut Dr Balkis lagi, dalam kes sebegini sekiranya para pesakit terus mengambilnya, ia boleh membawa kepada kesan sampingan lain termasuk kegagalan ginjal dan sindrom 'cushing'.

FAKTOR RISIKO WALAUPUN BUKAN MAKAN JENIS KAPSUL

Seorang lagi pakar perubatan, Dr Nur Farhan Alami, menarik perhatian kepada satu lagi masalah - iaitu sekitar separuh pesakit tidak memakan ubat yang diberikan doktor.

Buah tunjuk langit (Gambar-gambar: HSA)

"Kajian menunjukkan bahawa 50% pesakit tidak makan ubat yang patut dimakan. Jika seseorang itu membeli produk atau ubat yang tidak disahkan oleh pihak berkuasa, produk ini boleh mengandungi ubat seperti steroid ataupun ubat tahan sakit," ulas Dr Nur Farhan, yang merupakan seorang pakar Perubatan Gereatrik dan Konsultan Pusat Perubatan Dalaman daripada Hospital Raffles.

Risiko, kata beliau, juga boleh berlaku walaupun ubat tradisional yang dimakan itu bukan jenis ramuan atau kapsul.

"Bahan yang asli juga mengandungi kandungan yang aktif dan kandungan yang aktif ini juga boleh mendatangkan kesan sampingan di dalam badan. Jadi bukan semua bahan yang asli selamat untuk dimakan.

HSA menyatakan, ia akan terus memantau keadaan berkaitan buah tunjuk langit dengan rapi dan akan memberikan maklumat terkini kepada orang ramai jika ada penemuan penting.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan