Images
  • toh guan building
    Bangunan di Toh Guan Road yang terbakar pada 2017 (Gambar: Junn Loh)

Kawalan lebih ketat bagi salutan bangunan, termasuk ujian di tapak binaan: SCDF

SINGAPURA: Pemeriksaan wajib di kilang dan ujian sampel salutan bangunan atau 'cladding' di setiap tapak projek bangunan adalah antara cadangan yang diusulkan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) bagi mempertingkatkan keselamatan kebakaran.

Dalam satu kenyataan media pada Khamis (8 Nov), SCDF menyatakan pihaknya mengenal pasti bidang-bidang penting yang perlu diperbaiki selepas menyemak rejim kawal selia bagi penyalut bangunan.

Semakan tersebut menyusuli dapatan bahawa panel komposit yang tidak memenuhi piawai keselamatan digunakan sebagai salut bangunan-bangunan tahun lalu. Dapatan itu dibuat selepas satu kebakaran berlaku di sebuah bangunan pengindustrian di 30 Toh Guan Road.

SCDF kemudian membentuk panel penasihat Februari tahun ini bagi memberi cadangan berhubung kawalan salutan keselamatan kebakaran.

Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam hari ini (8 Nov) berkata cadangan oleh panel penasihat itu akan diterima pihak berkuasa.

SCDF juga akan memastikan bangunan yang sedang dibina akan mematuhi perubahan tersebut.

PEMERIKSAAN KILANG, UJIAN DI TAPAK BINAAN

Dalam kenyataannya hari ini, SCDF menggesa agar syarat piawaian bagi panel-panel tersebut diperketat.

Produk keselamatan kebakaran yang dilaraskan diberi pensijilan yang sah selama lima tahun selepas diperiksa badan pensijilan setempat.

Buat masa ini, panel komposit yang digunakan sebagai pensalut bangunan tertakluk di bawah skim pensijilan yang berdasarkan laporan ujian ke atas prestasi keselamatan kebakaran, serta pemeriksaan visual tahunan dan ujian pembakaran contoh panel.

"Namun skim yang sedia ada tidak mengambil kira faktor-faktor lain yang boleh menyebabkan panel komposit yang tidak diluluskan digunakan di tapak-tapak projek binaan," menurut SCDF.

Faktor-faktor ini termasuk ketidaktentuan pengilangan dan perubahan pada panel yang tidak didedahkan yang boleh menjejas prestasi keselamatan kebakaran.

Lantaran itu SCDF akan memperketat syarat pensijilan bagi panel-panel komposit agar memastikan "jaminan mutu lebih ketat sepanjang rangkaian bekalan".

Syarat-syarat tambahan ini termasuk pemeriksaan tahunan wajib proses penghasilan di kilang-kilang, audit mutu tahunan wajib ke atas sijil sistem pengurusan kilang serta ujian contoh bagi setiap tapak bangunan baru.

PINDAAN AKTA KESELAMATAN KEBAKARAN

SCDF juga mencadangkan pindaan ke atas Akta Keselamatan Kebakaran (FSA) untuk menjadikannya satu kesalahan jika membekalkan produk yang tidak mematuhi syarat pensijilan. Buat masa ini, ia hanya menjadi satu kesalahan untuk memasang produk sedemikian.

Jika pindaan ini diterima, SCDF boleh mengarahkan pihak-pihak bersalah untuk mengambil tindakan pembetulan, termasuk menarik balik penjualan produk-produk tersebut dan mencabutnya dari bangunan-bangunan.

SCDF juga bercadang untuk mewajibkan penyerahan pensijilan keselamatan panel komposit yang digunakan sebagai pensalut bangunan, sebagai sebahagian daripada penyerahan pelan bangunan.

Cadangan-cadangan untuk memperketat rejim kawalan pensalut bangunan itu akan dilaksanakan enam bulan selepas FSA yang dipinda berkuat kuasa, menurut SCDF.

Sementara itu, SCDF akan melaksanakan cadangan-cadangan yang boleh dikuat kuasa tanpa pindaan undang-undang.

LAPORAN BERKAITAN:

- CNA/TQ/tq

Top