Images
  • MV polaris
    Gambar MV Polaris yang dimuat naik ke satu laman Facebook. (Gambar: Abi Muaz Al Buduwi/Facebook)

Kapal M'sia yang ceroboh perairan S'pura digunakan untuk tandakan sempadan

SINGAPURA: Sebuah kapal Malaysia yang berlabuh di perairan dalam wilayah Singapura selama beberapa hari, digunakan untuk menandakan sempadan.

Dalam satu sidang media pada Khamis (6 Dis), Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan menunjukkan kepada pihak media satu video bagi memberi gambaran bagaimana kapal Malaysia menceroboh perairan Singapura.

Video itu menunjukkan satu kapal penyenggaraan boya Malaysia - Jabatan Laut Polaris. Kapal seumpama itu lazimnya digunakan untuk menandakan sempadan atau bahaya keselamatan sementara 'Jabatan Laut' merujuk kepada Jabatan Marin Malaysia.

"Kapal Malaysia ini khususnya sudah berada di sana sejak 3 Disember lalu, saya rasa - untuk beberapa hari - dan sehingga saat sidang media diadakan, masih berada di sana," kata Encik Khaw. "Terdapat tiga kapal Malaysia yang buat masa ini berada di perairan kita."

Encik Khaw selanjutnya berkata bahawa terdapat 14 pencerobohan di perairan wilayah Singapura dekat Tuas sejak dua minggu lalu, selepas Malaysia meluaskan Had Pelabuhan Johor Bahru pada Oktober.


Menurut laman pemantau pergerakan kapal global, Marine Traffic, Polaris yang berdaftar di Malaysia itu berhenti di perairan dekat Tuas, dengan destinasinya ditunjukkan sebagai "had baru pelabuhan Johor".


Illustrasi yang menunjukkan perubahan pada had pelabuhan Singapura dan Malaysia. 

Pada sekitar jam 10.00 pagi pada Khamis (6 Dis), Polaris berkenaan bergerak ke arah selatan, pada kelajuan 9km/j sebelum membuat pusingan U dan berhenti di lokasi sedikit berjauhan dengan Singapura.


Pergerakan kapal Malaysia pada Khamis (6 Dis). (Gambar: Marine Traffic)

Laman itu mengesahkan bahawa Polaris adalah sebuah kapal penyenggaraan boya, sambil menambah bahawa ia dibina pada 2017 dan berukuran 84 meter kali 16 meter.

KAPAL S$30 JUTA

Agensi berita Bernama pada 2017 menerbitkan satu rencana di laman Jabatan Marin Malaysia yang menyatakan bahawa Polaris sejenis kapal serba guna yang boleh menarik kapal dan memadam kebakaran di tengah laut.

Kapal bernilai RM92 juta (S$30.3 juta) itu, yang beroperasi dari Selat Melaka hingga ke Laut China Selatan, mempunyai kelajuan maksimum 28km/j dan boleh melabuh di laut sehingga 35 hari tanpa mengisi semula bekalan, kata Pengarah Jabatan, Baharin Abdul Hamid, seperti ditukil agensi berita tersebut.

Polaris juga boleh digunakan untuk latihan, dan dilengkapi dengan sebuah bilik darjah, bilik mesyuarat, gimnasium dan tempat tidur bagi 20 pelatih.

Singapura sudah berulang kali menegaskan bahawa peluasan Had Pelabuhan Johor Bahru menceroboh wilayah dan mencabul kedaulatannya.  

- CNA/AQ/aq

Top