Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kanak-kanak perlu tunjuk bukti divaksin sebelum mohon pas lawatan jangka panjang S’pura

Kanak-kanak warga asing berusia 12 tahun ke bawah yang ingin mendaftarkan diri bagi pas lawatan jangka panjang tidak lama lagi mesti menyerahkan dokumen mengenai pemvaksinan difteria dan penyakit campak.

Anggaran Waktu Membaca:
Kanak-kanak perlu tunjuk bukti divaksin sebelum mohon pas lawatan jangka panjang S’pura

Gambar fail suntikan vaksin penyakit campak. (Gambar: Schneyder Mendoza/AFP)

Diterbitkan : 18 Oct 2018 09:04PM Dikemas Kini : 18 Oct 2018 09:07PM

SINGAPURA: Kanak-kanak warga asing berusia 12 tahun ke bawah yang ingin mendaftarkan diri bagi pas lawatan jangka panjang tidak lama lagi mesti menyerahkan dokumen mengenai pemvaksinan difteria dan penyakit campak. Demikian diumumkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) pada Khamis (18 Okt).

Peraturan baru itu akan dikuatkuasakan pada 1 Febuari tahun depan.

Dokumen pemvaksinan tersebut harus diserahkan kepada Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) untuk disahkan sebelum permohonan dibuat kepada pihak-pihak berkuasa yang relevan.

MOH menyatakan bahawa sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jumlah kanak-kanak warga asing yang tidak divaksin terhadap difteria dan penyakit campak ataupun kanak-kanak yang status pemvaksinan mereka tidak dapat dipastikan semakin meningkat.

"Untuk memastikan perlindungan pemvaksinan yang tinggi dalam kalangan kanak-kanak di Singapura, MOH memerlukan dokumen-dokumen pemvaksinan difteria dan penyakit campak sebagai salah satu syarat untuk kanak-kanak warga asing memohon pas imigresen jangka panjang di Singapura," menurut kementerian itu dalam kenyataan medianya.

Kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah yang mendaftarkan diri untuk pas tanggungan dan pas pelajar juga perlu mengemukakan dokumen berkenaan atau bukti yang menunjukkan bahawa mereka dilindungi daripada difteria dan penyakit campak.

Pemvaksinan terhadap kedua-dua penyakit yang sangat mudah berjangkit itu adalah wajib ke atas kanak-kanak di Singapura, di bawah Akta Penyakit Berjangkit. Perlindungan pemvaksinan bagi kanak-kanak rakyat Singapura dan penduduk secara konsisten tetap tinggi, menurut MOH.

Bagi kanak-kanak warga asing yang tidak dijadual untuk mendapatkan pemvaksinan ketika membuat permohonan untuk menetap di Singapura bagi tempoh jangka panjang, ibu bapa atau penjaga mereka perlu memastikan agar kanak-kanak itu menerima suntikan vaksin tersebut selepas memasuki Singapura, menurut MOH.

Mereka yang ingin dikecualikan atas sebab-sebab perubatan pula mesti mengemukakan dokumen yang disahkan oleh seorang doktor kepada HPB, menurut kementerian itu lagi.

Peraturan baru itu tidak akan dikenakan ke atas para pemegang pas lawatan jangka panjang sedia ada, termasuk para pemegang pas tanggungan dan pas pelajar, apabila mereka memperbaharui pas mereka atau semasa memohon untuk mendapatkan pas baru.

"MOH akan bekerjasama dengan MOM (Kementerian Tenaga Manusia) dan ICA (Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan) untuk memaklumkan para pemohon pas imigreseni jangka panjang mengenai peraturan pemvaksinan nasional itu," menurut Kementerian Kesihatan. 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan