Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kampung Admiralty berpotensi semarakkan semangat kekitaan dalam masyarakat

Sudah lebih setahun Kampung Admiralty dilancarkan dan estet perumahan bersepadu itu mempunyai "potensi besar" untuk menyemarakkan semangat kekitaan dalam kalangan masyarakat.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sudah lebih setahun Kampung Admiralty dilancarkan dan estet perumahan bersepadu itu mempunyai "potensi besar" untuk menyemarakkan semangat kekitaan dalam kalangan masyarakat.

Ini menurut Anggota Parlimen kawasan Woodlands, Amrin Amin, yang melahirkan keyakinan demikian setelah melihat para penduduk memanfaatkan prasarana yang disediakan oleh pemerintah.

Dalam jangka panjang, Encik Amrin berharap agar interaksi bermakna boleh dikekalkan dengan banyak lagi program dan kemudahan baru dirancangkan.

Kegiatan-kegiatan yang merapatkan jurang antara generasi baru dengan lama sebegitu tidak lagi janggal.

Bahkan, sekali-sekala, para murid tadika MyFirstSkool di Kampung Admiralty mengunjungi Hab Penuaan Aktif yang terletak sederetannya untuk menghiburkan warga emas.

Bagi seorang pesara, Asnah Daud, yang sudah menetap di estet perumahan bersepadu itu bersama suami beliau selama setahun, suasana ceria itu mewarnai masa lapangnya.

"Bila kita masuk di NTUC Health Centre ini, kita ada banyak kawan dekat dalam sini. Jadi kita ada macam-macam kegiatan, bikin beg dan permainan. Kita boleh berjumpa dengan mereka, berbual dan berkawan," kata beliau.

Menurut Encik Amrin, yang juga Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan, banyak lagi inisiatif dapat dijangkakan penduduk kelak.

Encik Amrin berkata: "Ini tempat untuk semua bangsa dan juga kita akan merancakkan lagi aktiviti-aktiviti 'intergenerational bonding' yang tumpukan kepada warga tua."

Sememangnya, kawasan perumahan dengan kira-kira 100 unit apartmen studio itu bertujuan meningkatkan peluang untuk para penduduk bergaul sesama jiran tetangga dan masyarakat.

Disasarkan khusus untuk golongan senja, bangunan 11 tingkat itu turut menampung pelbagai kemudahan yang menyokong penuaan lebih bermakna di bawah satu bumbung.

Antaranya termasuk pusat-pusat perubatan dan jagaan kesihatan, pasar raya, cawangan makanan serta kebun masyarakat.

Maka itulah, semasa Amanat Hari Kebangsaan beliau baru-baru ini, Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyifatkan pembangunan bersepadu itu sebagai satu model perumahan awam masa hadapan.

Ini kerana bukan sahaja ciri-ciri inklusif yang terbina di setiap sudutnya dapat memenuhi keperluan orang tua, malah juga menggalak hubungan lebih bermakna sesama keluarga dan masyarakat umum.

Namun, Encik Amrin menekankan, matlamat jangka panjang adalah untuk meningkatkan daya tarikan tempat tersebut agar prasarana yang sudah disediakan pemerintah terus dimanfaatkan sebaik mungkin.

"Walaupun tempat ini ada bermacam-macam prasarana seperti buai-buai, kebun masyarakat dan sebagainya, harus kita rancakkan lagi dengan aktiviti, dengan orangnya, dengan ahli-ahlinya, dengan sukarelawannya," kata beliau.

"Prasarana itu sudah ada. Kita harus mengambil kesempatan ini supaya ini menjadi tempat kita, menjadi kampung kita. Kita betul-betul membuatkan ini kampung kita di mana kita rasa yang kita boleh betul-betul ada 'sense of ownership'," tambah Encik Amrin. 

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan