Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

"Kami bekerja dengan baik", komen Josephine Teo tentang peluang gantikan Lim Swee Say

Cik Teo berkata antara tugasnya dalam tiga kementerian, beliau sudah "lebih lama bertugas" dalam Kementerian Tenaga Manusia,

Anggaran Waktu Membaca:
"Kami bekerja dengan baik", komen Josephine Teo tentang peluang gantikan Lim Swee Say

Menteri Kedua Tenaga Manusia, Josephine Teo. (Gambar: Fann Sim)

Diterbitkan : 17 Apr 2018 11:44PM Dikemas Kini : 17 Apr 2018 11:45PM

SINGAPURA: Di tengah-tengah spekulasi bahawa Menteri Tenaga Manusia Lim Swee Say akan bersara daripada bidang politik, Menteri Kedua Tenaga Manusia Josephine Teo tidak banyak membuka mulut apabila ditanya oleh para wartawan hari ini (17 Apr) sama ada beliau bakal mengambil alih portfolio Encik Lim dalam rombakan Kabinet yang akan datang.

Beliau bagaimanapun berkata, antara tugasnya dalam tiga kementerian, beliau sudah "lebih lama bertugas" dalam Kementerian Tenaga Manusia kerana beliau berkhidmat selama beberapa tahun dalam pergerakan buruh.

Cik Teo juga Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri.

Bercakap kepada para wartawan selepas pelancaran sebuah portal pemadanan kerja Pemerintah, Cik Teo berkata: "Saya tidak rasa kita akan menunggu lama bagi pengumuman rombakan Kabinet. Kita perlu bersabar sedikit lagi dan akan mengetahuinya."

Apabila ditanya dalam bahasa Mandarin jika beliau akan menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Tenaga Manusia, Cik Teo hanya berkata beliau dan Encik Lim mempunyai hubungan kerja yang baik.

"Dalam Kementerian Tenaga Manusia, kami bekerja dengan baik bersama-sama," kata beliau.

"Lim Swee Say ialah seorang menteri yang baik - beliau bertenaga dan juga berpengalaman bertahun-tahun dalam pergerakan buruh," Cik Teo memberitahu para wartawan.

"Kami sudah bekerja bersama selama lebih 20 tahun sejak di EDB lagi."

Cik Teo juga ditanya tentang peranannya dalam menulis draf agenda Pemerintah bagi Ucapan Presiden apabila sesi baru Parlimen dibuka semula pada bulan Mei nanti.

"Bagi MOM, perkara utama yang mahu diketahui oleh rakyat Singapura adalah: Apakah masa depan bagi rakyat Singapura yang bekerja? Adakah kita akan mendapat pekerjaan lebih baik? Adakah kita akan mendapat gaji yang lebih besar? Adakah tenaga kerja kita lebih inklusif dan adakah kita akan dapat tempat kerja yang lebih progresif? Adakah kita dapat bersara dengan sejahtera?" kata Cik Teo.

"Pastinya ia usaha bersama. Jadi contohnya, MOM berusaha untuk mempertingkat standard untuk membantu para pekerja mendapatkan peluang, namun kerjaya atau peluang pekerjaan perlu diwujudkan terlebih dahulu dan untuk itu kita memerlukan agensi-agensi ekonomi untuk menerajuinya," tambah beliau.

Cik Teo adalah sebahagian daripada tampuk kepimpinan generasi keempat.

Selepas dipilih ke dalam Parlimen pada tahun 2006, beliau sudah berkhidmat dalam Kementerian Kewangan, Pengangkutan dan Ehwal Luar.

Beliau juga pernah menjadi penolong setiausaha agung dalam Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) sebelum dilantik sebagai Menteri Kedua Tenaga Manusia pada bulan Mei tahun lalu.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan