Images
  • Kok Yuen Chin
    Persemadian CPL Kok Yuen Chin. (Gambar: CNA)

'Kami akan kerja keras untuk raih kembali kepercayaan anda' - SCDF selepas kematian CPL Kok

SINGAPURA: Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) hari ini (17 Mei) melahirkan rasa sedih atas kematian anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa (NSF) Kok Yuen Chin dan berikrar untuk "melakukan apa jua yang wajar" bagi membantu keluarga beliau.

"Kami meratapi kehilangan menyedihkan salah seorang daripada anggota kami, ahli bomba CPL Kok Yuen Chin," menurut catatan SCDF di Facebook. "Kami akan melakukan apa jua yang wajar untuk membantu keluarga beliau di tempoh yang sukar ini. Kami akan bekerja keras untuk meraih kembali kepercayaan anda."

"Kami berhutang kepada CPL Kok dan keluarganya untuk memastikan bahawa ia tidak akan berlaku lagi."

CPL Kok meninggal dunia pada 13 Mei lalu selepas ditemui dalam keadaan tidak sedar dalam sebuah perigi pam balai bomba sedalam 12 meter yang dipenuhi dengan air.

Mendiang memasuki perigi itu sebagai sebahagian daripada kegiatan untuk meraikan tamat tempoh menjalani Perkhidmatan Negara bersama rakan-rakan beliau.

Siasatan ke atas kematian CPL Kok sedang dijalankan dengan Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal dalam Negeri K Shanmugam berkata bahawa dakwaan jenayah "hampir pasti" dikenakan berhubung kes kematian itu.

Dua kakitangan sepenuh masa SCDF ditangkap Isnin lalu (14 Mei) berhubung insiden tersebut.

Encik Shanmugam menekankan di Parlimen bahawa komander unit akan dipertanggungjawabkan jika insiden seperti itu berlaku lagi pada masa hadapan.  

- CNA/SM/fa

Top