Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kajian: Golongan muda pandang positif identiti dwibahasa tapi anggap dwibahasa Cina-Inggeris lebih bermanfaat

Para pelajar dan pekerja dewasa Melayu memandang positif identiti mereka sebagai pengguna dwibahasa Melayu-Inggeris dan menyifatkan penguasaan kedua-dua bahasa itu sebagai membawa manfaat. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para pelajar dan pekerja dewasa Melayu memandang positif identiti mereka sebagai pengguna dwibahasa Melayu-Inggeris dan menyifatkan penguasaan kedua-dua bahasa itu sebagai membawa manfaat.

Namun, golongan tersebut juga menyifatkan penguasaan dwibahasa Melayu-Inggeris sebagai kurang bermanfaat berbanding dengan penguasaan dwibahasa Cina-Inggeris dalam konteks kehidupan sekarang.

Demikian dapatan satu kajian mengenai sikap kedwibahasaan di kalangan warga muda Melayu Singapura, yang dijalankan julung-julung kalinya di negara ini.

KAJIAN KE ATAS MELAYU BERUSIA 13-30 TAHUN

Dalam kajian tersebut, seramai 200 responden Melayu berusia antara 13 dengan 30 tahun ditinjau.

Pelbagai soalan diajukan kepada mereka. Contohnya, apakah menjadi penguasaan dwibahasa Melayu-Inggeris meningkatkan daya kerja mereka. Dan apakah keupayaan tersebut membolehkan mereka berhubungan dengan lebih baik serta berkemampuan menikmati muzik dan drama secara lebih meluas.

Hasil kajian tersebut, yang dijalankan sekumpulan penyelidik dari Institut Pendidikan Nasional (NIE) dibentangkan dalam satu persidangan antarabangsa mengenai pedagogi pada 1 Jun.

Antara dapatannya, para responden rata-rata akur kedwibahasaan Inggeris-Melayu membawa faedah.

Soal identiti, mereka juga menjadi lebih yakin dengan identiti dwibahasa mereka semakin mereka meningkat dewasa atau meniti alam pos-menengah.

SIKAP POSITIF DWIBAHASA KURANG APABILA BEKERJA

Bagaimanapun, sikap positif terhadap kedwibahasaan Melayu-Inggeris menurun sedikit di kalangan Melayu dewasa yang bekerja.

Menurut Profesor Madya Mukhlis Abu Bakar, yang memimpin kajian ini, jawapan responden menunjukkan ruang untuk mereka menggunakan bahasa Melayu berkurangan selepas meninggalkan zaman persekolahan.

Profesor Madya Mukhlis berkata: "Di dalam konteks Singapura itu, bahasa Inggeris lebih penting. Jadi sememangnya kita ingin menguasai dalam bahasa Inggeris untuk membolehkan kita dapat belajar dengan berjaya dan kita dapat pekerjaan yang memang memerlukan bahasa Inggeris.

"Mungkin dalam alam pekerjaan itu, mereka melihat bahawa bahasa Melayu itu tidak seberguna bahasa Inggeris. Tapi apa yang kita lihat di sini bahawa semangat untuk menggunakan bahasa Melayu itu tidak luntur iaitu mereka tetap berasa bangga tapi pada masa yang sama, pengaruh bahasa Inggeris itu memang begitu pesat sekali."

KAJIAN TRIBAHASA MELAYU-ARAB-INGGERIS

Sementara itu, satu lagi kajian yang menyelidik sikap golongan muda dari aliran madrasah terhadap penggunaan tiga bahasa, iaitu Melayu-Arab-Inggeris (EMA) dalam kalangan para pelajar dan graduan madrasah juga menonjolkan dapatan yang serupa iaitu identiti mereka sebagai pengguna tiga bahasa tersebut dianggap berfaedah.

Namun, sebagaimana kajian dwibahasa Melayu-Inggeris, tanggapan positif itu melemah sejurus mereka mula bekerja.

Secara keseluruhan dari segi identiti, para responden menganggap bahasa Melayu sebagai yang terpenting daripada ketiga-tiga bahasa.

"Bahasa Melayu itu masih subur dan masih lagi kerap digunakan oleh pelajar-pelajar madrasah itu. Jadi ini agak bertentangan dengan dapatan daripada kajian-kajian lain yang menunjukkan bahawa terdapat peralihan daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris sebagai bahasa dominan di rumah," ujar Profesor Madya Mukhlis lagi.

Kumpulan pengkaji itu merumuskan, pihak madrasah berjaya memupuk sikap tribahasa di kalangan masyarakat Melayu/Islam dan ini membanggakan bagi pendidikan madrasah. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan