Images
  • kids

Kajian 3 tahun dijalankan ke atas 100 kanak-kanak demi bantu capai mobiliti sosial

SINGAPURA: Sebuah kajian tiga tahun dilancarkan untuk mengkaji bagaimana kanak-kanak prasekolah yang kurang bernasib baik boleh dibantu.

Ia akan mengikuti perkembangan sehingga 100 kanak-kanak di bawah Model Sokongan Kanak-Kanak yang memberi sokongan sosial, pembangunan dan kewangan.

Dapatan daripada kajian itu akan digunakan bagi mencorak pemikiran dasar dan membantu keluarga yang berkenaan mencapai mobiliti sosial.

Model Sokongan Kanak-Kanak yang dimulakan pada tahun 2016 bertujuan menyokong keperluan kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah atau mereka yang mempunyai keperluan khusus dalam aspek pembangunan dan pembelajaran.

NTUC First Campus sudah melaksanakan model itu di semua 140 pusat prasekolah My First Skool yang mana subsidi diberikan melalui Dana Bright Horizons.

Hasilnya, kadar kehadiran untuk kanak-kanak di 10 pusat My First Skool meningkat kepada 83 peratus pada tahun ini berbanding 68 peratus pada bulan Julai dua tahun lalu.

10 pusat prasekolah itu adalah sebahagian daripada KidSTART, satu program di bawah Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak yang menyasarkan keluarga berpendapatan rendah.

Lebih 70 peratus ibu bapa melaporkan ada perubahan positif dalam hubungan dengan anak-anak mereka selepas menghadiri bengkel keibubapaan.

Berdasarkan perkembangan itu, para penyelidik dalam kajian terbaru berharap dapat mengetahui nuansa masalah-masalah yang dihadapi keluarga kira-kira 100 kanak-kanak dari 10 pusat KidSTART. Perkembangan mereka akan diikuti dari peringkat K1 hingga Darjah 1.

NTUC First Campus akan membiayai sehingga S$500,000 bagi perbelanjaan langsung dan pengumpulan data akan bermula awal tahun depan. 

- CNA/NU/na

Top