Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kaedah inovatif & kreatif perlu jadi kemahiran asas bagi setiap guru - Dr Faishal

Dalam era yang semakin mencabar hari ini, pembelajaran bahasa Melayu secara inovatif dan kreatif perlu dijadikan kemahiran asas bagi setiap guru.

Anggaran Waktu Membaca:
Kaedah inovatif & kreatif perlu jadi kemahiran asas bagi setiap guru - Dr Faishal

Dr Faishal Ibrahim (paling kanan) bersama beberapa murid darjah satu di Seminar Bahasa Melayu 2018. (Gambar: MOE)

SINGAPURA: Dalam era yang semakin mencabar hari ini, pembelajaran bahasa Melayu secara inovatif dan kreatif perlu dijadikan kemahiran asas bagi setiap guru.

Ini dalam erti kata melengkapi mereka mengajar rutin berfikir, menggunakan daya imaginasi dan memupuk daya berfikir secara kritis kepada para pelajar.

Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan, Dr Muhammad Faishal Ibrahim menyifatkan pendekatan sedemikian sebagai penting memandangkan ia merupakan kunci kejayaan bagi semua mata pelajaran, termasuk Bahasa Melayu.

53 KERTAS KAJIAN DIBENTANGKAN DALAM SEMINAR BAHASA MELAYU 2018

Apakah di antara usaha dan langkah yang harus diambil seseorang guru bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu terus relevan dan bermakna di Singapura?

Sejauh mana pendekatan inovatif dan kreatif langkah terbaik untuk melakukannya?

Inilah di antara persoalan yang dikupas oleh 170 guru di Seminar Bahasa Melayu 2018 yang berlangsung semalam (13 Mar). Sebanyak 53 kertas kajian dibincangkan semasa sesi itu.

Dianjurkan oleh Pusat Bahasa Melayu Singapura (MLCS), seminar yang bertemakan "Pengajaran Inovatif, Pemikiran Kreatif" itu bermatlamat mempertingkatkan kebolehan dan kemahiran guru dalam mejalankan pembelajaran Bahasa Melayu secara efektif di dalam bilik darjah.

ADA KAITAN DENGAN PEMBANGUNAN NEGARA

Tetamu Kehormat, Dr Faishal Ibrahim berkata, penggunaan daya inovatif dan kreatif penting dalam konteks kemajmukan Singapura, kerana menurutnya walaupun masyarakat Melayu mempunyai identiti dan jati diri sendiri, kemahiran ini boleh digunakan dalam pembangunan negara.

"Jadi dengan adanya daya inovatif dan kreatif ini, ini akan memberikan mereka peluang dan daya saing dan kekuatan untuk mengambil peluang yang sedia ada dan menghadapi cabaran-cabaran yang mereka akan hadapi apabila mereka membesar dan mereka membangunkan negara kita bersama," tekannya.

Pandangan ini turut dipersetujui pensyarah undangan dari Malaysia, Dr Parilah Mohd Shah.

"Kreativiti bukan hanya dianugerah kepada satu orang sahaja, kreativiti boleh dibangunkan, Kita boleh latih pelajar kita untuk jadi lebih kreatif.

"Bila mereka kreatif, mereka boleh jadi lebih kritikal, kita hendakkan masyarakat lebih kritikal dalam apa-apa hal sebab bila seorang itu kritikal, ataupun berfikiran kritis, itu adalah satu masyarakat yang matang.

"Jadi kita boleh mendapat idea-idea yang baik, yang boleh membantu negara dalam pembangunan mereka dari segi ekonomi dan sebagainya," kongsinya kepada BERITAMediacorp.

KELEBIHAN KAEDAH RUTIN BERFIKIR

Menurutnya Dr Parilah, usaha ini dapat dicapai menerusi kaedah imaginasi dan teknik menyelesaikan masalah menerusi pendekatan Bahasa Melayu.

Kaedah yang lainnya termasuk penggunaan Rutin Berfikir dalam Pengajaran Kefahaman.

Menurut Cikgu Rosnita Hamid dari Sekolah Rendah Junyuan kaedah rutin berfikir dalam pembelajaran kefahaman ini penting untuk diterapkan dalam bilik darjahnya memandangkan kebanyakan pelajarnya agak lemah dalam pembelajaran kefahaman.

"Mereka mempunyai penguasaan kosa kata yang terhad, dan adakalanya mereka tidak memahami rutin soalan, jadi dengan adanya rutin berfikir ini ia menggalakkan murid-murid berfikir secara berstruktur dan bertanyakan soalan-soalan," ujarnya.

Di majlis yang sama, sebuah buku Bicara Budiman Dr Muhammad Ariff Ahmad bersama pihak MLCS tentang falsafah dan pemikiran Allahyarham turut dilancarkan di majlis tersebut.

Sebuah Aplikasi Legenda Singapura yang memuatkan kisah-kisah legenda popular bagi murid rendah turut dilancarkan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan