Images
  • Baby
    Gambar fail. (Gambar: AFP/Philippe Huguen)

Kadar kelahiran S'pura pada 2017 paling rendah dalam 8 tahun

SINGAPURA: Jumlah kelahiran di Singapura merosot kepada 39,615 pada 2017. Ini kemerosotan empat peratus berbanding 41,251 kelahiran pada tahun sebelumnya, menurut perangkaan oleh Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada Jun.

Data daripada Jabatan Statistik juga menunjukkan ini merupakan bilangan kelahiran paling rendah sejak 2010, apabila 37,967 kelahiran dicatat.

Dalam tempoh lapan tahun itu, bilangan kelahiran paling tinggi dicatat pada 2012, iaitu tahun naga dalam kalendar Cina. 42,663 kelahiran dicatat pada tahun berkenaan.

Sedang bilangan kelahiran merosot, bilangan kematian pula meningkat pada 2017.

Menurut ICA, terdapat 20,905 kematian tahun lalu. Ini peningkatan sebanyak 4.4. peratus berbanding 2016.

Pada 2017, kebanyakan kematian dicatat di hospital manakala 17,192 kematian berusia 60 tahun ke atas.

ICA menambah bahawa dua penyebab utama kematian di Singapura adalah ketumbuhan merbahaya serta penyakit jantung dan darah tinggi.

Penyakit-penyakit ini membentuk 52.8 peratus atau lebih separuh daripada kematian yang dicatat di Singapura tahun lalu.

- CNA/TQ/tq

Top