Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kad Raya kurang popular tapi sesetengah masih ingin hidupkan 'cara lama'

Di samping menziarahi sanak-saudara dan rakan taulan sempena Syawal ini, ada juga yang mengirimkan kad ucapan hari raya sebagai tanda ingatan.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Di samping menziarahi sanak-saudara dan rakan taulan sempena Syawal ini, ada juga yang mengirimkan kad ucapan hari raya sebagai tanda ingatan.

Ini meskipun teknologi serba canggih lebih biasa digunakan sebagai ganti, seiring perubahan zaman.

Malah, ramai orang yang ditemui BERITAMediacorp mengatakan kaedah teknologi seperti WhatsApp lebih mudah untuk mengirimkan ucapan mereka berbanding kad raya yang perlu dipos, di samping memakan masa sebelum sampai ke tangan si penerima.

Namun begitu, masih ada yang ingin melihat tradisi menghantar kad raya ini dikekalkan. Masih jelas di ingatan mereka akan masa-masa mereka mendapat banyak kad raya dan saling balas-membalas.

TIDAK RAMAI JUAL KAD RAYA

Tinjauan BERITAMediacorp ke bazar Geylang Serai pada Ramadan yang lalu mendapati tidak banyak kad raya yang kini dijual di pasaran.

Ini jelas mencerminkan permintaan yang umumnya berkurangan.

Namun di kalangan sejumlah kecil penjual kad raya yang ada, penjualannya tetap laris.

Menariknya, para pelanggan mereka termasuk bangsa asing dan pelancong.

Bagi Cik Junisar Katab, salah seorang penjual yang ditemui BERITAMediacorp, hampir 90 peratus desain kad rayanya laku dijual.

"Hari itu, kita ada 18 desain kad. Sekarang, kita tinggal dua desain sahaja. Setiap desain ada sekitar 30 keping. Namun kini tinggal lima keping setiap desain sahaja," kata Cik Junisar.

GOLONGAN CILIK MINAT KIRIM KAD RAYA

BERITAMediacorp juga bertemu dengan seorang pembeli 'setia' kad raya, yang juga merupakan seorang kanak-kanak berusia enam tahun bernama Nur Syahindah Imani Shahri.

Menurut ibunya, Syahindah yang sibuk mengajak ibunya untuk menulis kad raya tahun ini meskipun beliau baru diperkenalkan kepada kaedah ini pada tahun lalu.

Bahkan, si cilik sudah menyiapkan senarai penerima kad rayanya.

"Saya mempunyai 13 kad raya untuk kawan-kawan dan sanak-saudara saya," kata Syahindah. Kedengaran seperti banyak, tetapi jumlah kad itu sebenarnya setelah ibunya, Cik Suhaili Saad, 'menyemak semula' senarai penerimanya dan terpaksa mengecualikan beberapa orang kerana sudah kehabisan kad raya.

HIDUPKAN KEMBALI 'CARA LAMA'

Usaha menghidupkan kembali budaya memberi kad raya dilakukan Cik Suhaili supaya anak tunggalnya itu dapat merasakan secebis keseronokan menyambut lebaran mengikut cara 'lama'.

Idea itu berputik apabila Cik Suhaili mengimbau kenangan manis berbuat demikian bersama adik-beradiknya semasa kecil dahulu.

Jelas, beliau berjaya kerana keluarga ini turut mendorong sesetengah penerima untuk melakukan perkara yang serupa.

"Kami mempunyai ramai saudara-mara ataupun kawan-kawan. Mereka gembira dapat menerima kad raya daripada kami. Tahun ini, mereka membalas kad raya kami pula," ujar Cik Suhaili.

Yang nyata, sama ada ucapan Hari Raya berbentuk kad fizikal mahupun secara online, semua itu hanyalah kaedah yang boleh berubah mengikut peredaran masa. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan