Images
  • trump (1)
    Orang ramai menyaksikan acara bersejarah itu. (Gambar: AFP)

Jutaan penduduk merata dunia saksikan sidang bersejarah Trump-Kim

SINGAPURA: Perhatian seluruh dunia tertumpu kepada pertemuan pertama antara seorang presiden Amerika Syarikat dengan pemimpin Korea Utara, yang berlangsung di Singapura pada Selasa (12 Jun).

Sedang ramai orang membarisi jalan raya untuk menyaksikan rombongan Presiden Trump dan Encik Kim Jong Un masing-masing menuju ke Sentosa pagi ini, berjuta-juta yang lain menyaksikannya secara langsung.

Acara tersebut diperhatikan dengan teliti di Seoul di mana beribu-ribu berhimpun di stesen-stesen kereta api dan tempat awam di merata ibu kota Korea Selatan itu untuk menyaksikan sidang bersejarah itu secara langsung.

Mereka bertepuk tangan apabila Encik Kim dan Presiden Trump berjabat tangan.


Skrin-skrin gergasi di bangunan-bangunan utama merata Seoul juga menyiarkan mesyuarat itu, dengan ramai orang berhenti sejenak untuk menyaksikan acara bersejarah itu.

Agensi berita Korea Selatan, Yonhap, turut menunjukkan Presiden Moon Jae-in tersenyum semasa menyaksikan kedua-dua Encik Trump dan Encik Kim berjabat tangan.

"Sidang Amerika-Korea Utara sudah bermula," Yonhap menukil Encik Moon sebagai berkata semasa menghadiri satu mesyuarat Kabinet.

"Saya rasa perhatian rakyat kita tertumpu kepada Singapura."

Bantahan bagaimanapun tercetus di Seoul, di mana para aktivis antiperang mengadakan tunjuk perasaan di luar kedutaan Amerika Syarikat bagi menuntut satu perjanjian damai yang akan menamatkan permusuhan selama hampir 70 tahun. Perang Korea 1950-53 ditamatkan melalui genjatan senjata dan bukan perjanjian damai.

Di Koreatown Los Angeles pula, ramai berkumpul untuk menyaksikan siaran langsung sidang berkenaan dan mereka juga bertepuk tangan apabila Encik Kim berjabat tangan dengan Presiden Trump.

Koreatown mempunyai bilangan warga Korea paling ramai di Amerika Syarikat dan ramai penduduk di sana turut melahirkan harapan agar sidang di Singapura itu akan membuahkan hasil.

Di pantai timur Amerika Syarikat pula, ramai menyaksikannya di Times Square, New York atau melalui kaca televisyen masing-masing.

Di Tokyo, ramai orang bergegas mendapatkan edisi khas akhbar tempatan yang membuat liputan sidang puncak tersebut, dengan ramai rakyat Jepun memerhatikan dengan teliti segala pergerakan Encik Kim yang sebelum ini melancarkan peluru berpandu di ruang udara Jepun.

Pasaran-pasaran kewangan di Jepun turut memantau perkembangan di Singapura.

Secara purata Indeks Nikkei di Jepun meningkat pagi tadi, dirangsang oleh keyakinan bahawa sidang berkenaan boleh membawa kepada pelucutan senjata nuklear di Semenanjung Korea.

Indeks Nikkei naik 0.5 peratus kepada 22,906.14 mata pada sesi dagang sebelah pagi setelah mengalami kemerosotan buat seketika. Paras ini rendah sedikit berbanding paras tertinggi yang dicatatkan dalam masa empat bulan.

- CNA/TQ/na

Top