Images
  • pmd
    (Gambar fail: TODAY)

Jumlah pengguna yang beli insurans basikal, PMD naik hingga 300%

BERITAmediacorp: Kesedaran mengenai perlindungan insurans basikal dan alat pergerakan peribadi (PMD) di kalangan pengguna kini semakin meningkat.

Syarikat insurans Etiqa melaporkan lonjakan 300 peratus dalam pemilikan polisi berbanding tahun lalu sementara NTUC pula menjangkakan jumlah pembeli polisinya meningkat.

Populariti PMD dan basikal elektrik (PAB) mula meledak dua, tiga tahun lalu. Begitu juga bagi jumlah kemalangan yang membabitkan dua-dua alat pergerakan tersebut.

Jika dihitung, kadar kemalangan yang melibatkan PMD dan PAB adalah sekitar 0.5 peratus, tidak banyak berbeza berbanding 0.8 peratus yang dicatat kenderaan bermotor.

Namun hakikatnya, insurans bagi PMD dan PAB masih belum lagi diwajibkan buat masa ini.

"Kita sedang melakarkan untuk meningkatkan kesedaran dan pengambilan atau penggunaan insurans ini kepada syarikat penghantaran makanan dahulu, di mana syarikat Deliveroo telah membelikan insurans pihak ketiga ini kepada semua pekerja mereka dan kita akan teruskan usaha ini dan kita mahukan lebih ramai yang mengambil secara sendiri," kata Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, Pengerusi Panel Penasihat Pergerakan Aktif (AMAP).

Sekarang ini, terdapat sekurang-kurangnya empat syarikat yang menawarkan insurans bagi basikal dan PMD. NTUC Income merupakan syarikat pertama untuk menawarkan pelan insurans sedemikian.

Setakat ini, sekitar 1,000 orang sudah memiliki insurans sedemikian dan syarikat itu menjangkakan jumlah pembeli polisi akan meningkat.

Konsultan Kewangan NTUC Income, Ari Yusmir Ishak, menjelaskan manfaatnya: "Ia menawarkan manfaat untuk kematian, kecacatan serta kos perubatan dan juga liabiliti kepada pihak ketiga sekira berlakunya kemalangan semasa mereka menggunakan PMD ini."

Perlindungan 'Personal Mobility Guard' yang ditawarkan NTUC Income kini diperluaskan, sejajar dengan trend perkongsian basikal dan PMD yang semakin meningkat.

"Sekiranya alat-alat itu disewa atau dipinjam, tetap akan dapat tuntutan sekiranya ada kemalangan," kata Encik Ari.

Syarikat Etiqa juga sudah menawarkan insurans serupa, yang dikenali sebagai 'eProtect Mobility Insurance' sejak dua tahun lalu. Disebabkan kesedaran yang meningkat, bilangan pemegang baru bagi polisi tersebut turut melonjak 300 peratus berbanding tahun lalu.

"Pihak berkuasa sudah menjalankan usaha baik dari segi meningkatkan kesedaran mengenai apa itu insurans PMD dan bagaimana ia membantu dalam kegiatan yang melibatkan PMD," kata Ketua Perniagaan Langsung dan Analisis syarikat Etiqa, Jazzreal Wong.

Lantas jika sudah diakui manfaat insurans sedemikian, mengapakah ia masih tidak diwajibkan?

Menjawab, Dr Faishal menjelaskan betapa demografi penggunanya yang merangkumi kanak-kanak kecil sehinggalah ke warga tua yang kurang upaya menyukarkan pihak berkuasa untuk berbuat demikian.

Beliau berkata: "Kalau kita boleh membangunkan usaha ini dengan semula jadi... kita boleh memberikan kesedaran kepada lebih ramai untuk menggunakannya, membelinya. Ini pada pendapat saya lebih baik, pada masa kini."

AMAP juga sedang meneroka beberapa cara lain untuk membantu mangsa kemalangan yang membabitkan basikal dan PMD, menuntut wang pampasan ganti rugi. 

- BERITAmediacorp/NT/ai

Top