Images
  • HSA ban 10 shops
    Kedai-kedai yang digantung lesen. (Gambar: HSA)

Jual rokok kepada pembeli bawah umur, lesen 10 peruncit digantung

SINGAPURA: Lesen menjual tembakau bagi 10 peruncit digantung selama enam bulan selepas mereka didapati menjual rokok kepada pembeli bawah umur 18 tahun, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA).

"10 peruncit ini tidak meminta sebarang bentuk pengenalan diri untuk mengesahkan usia pembeli. Mereka mendakwa bahawa mereka sedang sibuk atau pembeli bawah umur itu kelihatan lebih dewasa daripada usia sebenar mereka," demikian menurut HSA dalam satu kenyataan media hari ini (16 Apr).

10 peruncit yang digantung lesen:

- Hao Mart di 505 Canberra Link dan di 323 Tah Ching Road

- M R Pasir Ris Minimart di 230 Pasir Ris Street 21

- NYK Minimart di 365B Upper Serangoon Road

- Noor Supermart di 468 Hougang Avenue 8

- Rasul MiniMart di 108 Bedok Reservoir Road

- Sai Mart di 144 Teck Whye Lane

- MCP Fairmart di 135 Jurong Gateway Road

- Chennai Store di 456 Jurong West Street 41

- Luck Seng Coffee Stall di 115 Bukit Merah View.

Kesemua 10 peruncit adalah pesalah kali pertama, menurut HSA.

HSA menyatakan bahawa para peruncit didapati menjual rokok kepada pembeli bawah umur menyusuli kegiatan pengawasan dan penguatkuasaan yang dijalankan untuk membanteras penjualan produk tembakau secara haram kepada pembeli bawah usia 18 tahun.

Di bawah Akta Tembakau (Kawalan Iklan dan Penjualan), sesiapa yang didapati bersalah menjual produk tembakau kepada pembeli bawah usia 18 tahun boleh didenda sehingga S$5,000 bagi kesalahan pertama. Pesalah kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan denda sehingga S$10,000.

Selain itu, lesen menjual tembakau akan digantung selama enam bulan bagi pesalah kali pertama dan bagi pesalah kali kedua, lesen mereka akan dibatalkan.

Namun, lesen menjual tembakau para peruncit yang didapati menjual produk tembakau kepada individu yang memakai uniform sekolah atau bawah usia 12 tahun akan dibatalkan meskipun ia kesalahan pertama. 

- CNA/SM/sm

Top