Images
  • masagos raya 2
    Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli (Gambar: Mediacorp)

Jiwai nilai rahmah di luar Ramadan untuk bina masyarakat inklusif lagi berjaya, kata Masagos

SINGAPURA: Tahap kejayaan yang lebih tinggi boleh dikecapi bersama jika setiap daripada kita menyebarkan rahmah.

Maka itu, kita perlu benar-benar menjiwai nilai murni tersebut walau di luar Ramadan untuk membina masyarakat inklusif lagi berjaya.

Demikian amanat pertama Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam sempena Hari Raya Aidilfitri esok (15 Jun).

Encik Masagos juga berkongsi harapannya bagi masyarakat Islam di sini - kekal bersatu padu dan pupuk ikatan persahabatan yang kukuh bagi membina Singapura yang kuat, kohesif dan penyayang.

Berikut ini BERITAMediacorp menerbitkan ucapan penuh amanat Hari Raya Encik Masagos:

Muslimin dan muslimat sekalian, Selamat Hari Raya Aidil Fitri.

Malam ini kita sama-sama melahirkan rasa syukur dan gembira kita kerana berpeluang menyambut bulan kemenangan, bulan Syawal. Hari Raya Aidilfitri menandakan berakhirnya bulan suci, Ramadan. Sepanjang sebulan lalu, kita bermuhasabah diri, mengeratkan silaturahim dengan keluarga dan handai taulan, serta berbuat baik sesama insan.

Sepanjang sebulan lalu, saya terharu dan bangga melihat semangat sebenar bulan Ramadan yang ditunjukkan oleh masyarakat Islam Singapura. Kita mengundang sahabat-handai dari pelbagai kaum dan agama untuk berbuka puasa bersama-sama, baik di masjid atau di rumah kita. Masjid-masjid kita penuh dengan jemaah yang datang bersama keluarga mereka untuk berbuka puasa, menunaikan solat jemaah dan meluangkan masa bersama.

Saya rasa amat tersentuh dengan mereka yang secara sukarela membantu golongan yang kurang bernasib baik, tanpa mengira kaum atau agama. Saya juga terharu melihat bagaimana anggota masyarakat kita menyumbang masa dan tenaga untuk membantu masjid dan badan masyarakat kita dengan sebaik mungkin, walaupun sedang berpuasa dan mempunyai komitmen masing-masing. Inilah nilai murni yang penting dan terpuji dalam membina sebuah masyarakat Singapura yang penyayang dan inklusif. Saya berharap kita akan terus mengamalkan semangat gotong-royong ini walaupun di luar bulan Ramadan.

Ini hanya boleh dicapai oleh sebuah masyarakat yang benar-benar menjiwai nilai ‘Rahmah bermula daripada saya’. Semangat ini akan mendorong kita untuk sentiasa berusaha sebagai satu masyarakat untuk mencapai tahap kejayaan yang lebih tinggi. Setiap daripada kita bukan sahaja berusaha untuk mendatangkan kebaikan kepada kehidupan kita sendiri, tetapi juga menceriakan kehidupan orang lain. Masyarakat kita penuh bersemangat, beriltizam, dan bersatu padu. Saya yakin bahawa setiap cabaran, walaupun sehebat mana, boleh diatasi jika kita tabah, bersatu hati, dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai apa yang kita impikan.

Muslimin dan Muslimat, bagi pihak Anggota Parlimen yang lain, sekali lagi saya, Masagos Zulkifli Masagos Mohamad mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan kepada semua, Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.

- BERITAMediacorp/FZ/tq

Top