Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jenazah Allahyarham Ustaz Abu Bakar akan dikebumikan di Arab Saudi

Jenazah Allahyarham Ustaz Mohd Abu Bakar Osman, yang meninggal dunia dalam kemalangan semasa menuju ke bandar Taif, Arab Saudi, akan dikebumikan di sana.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jenazah Allahyarham Ustaz Mohd Abu Bakar Osman, yang meninggal dunia dalam kemalangan semasa menuju ke bandar Taif, Arab Saudi, akan dikebumikan di sana.

Pihak kami difahamkan demikian oleh sumber-sumber yang rapat dengan agensi Abu Bakar Travel Services. Namun, sumber tersebut tidak menyatakan bila pengebumian akan dilakukan.

Para jemaah yang tidak terjejas pula dijadualkan pulang ke tanah air pada Ahad ini (25 Mac).

Dalam pada itu, lapan anggota keluarga Allahyarham Ustaz Mohd Abu Bakar, berangkat ke sana pada jam 5.00 petang tadi untuk menguruskan jenazah beliau.

Mereka ditemani seorang wakil MUIS dan para pegawai syarikat insurans ST&T yang akan memantau keperluan serta menghulurkan bantuan kepada jemaah yang terjejas.

Seorang pegawai Abu Bakar Travel memberitahu BERITAMediacorp, dua jemaah perlu menjalani pembedahan di hospital Saudi.

Isteri Allahyarham, Cik Fauziah Alias pula cedera di tengkuk dan lutut beliau.

Allahyarham yang merupakan pengarah syarikat pelancongan itu, satu-satunya penumpang yang meninggal dunia dalam nahas semalam (20 Mac), melibatkan bas jemaah dengan sebuah lori.

Sewaktu kejadian, bas yang membawa 31 jemaah Singapura itu sedang dalam perjalanan ke bandar Taif.

Syarikat insurans umrah, ST&T dan United Overseas Insurance sedang membantu para jemaah yang terjejas dari segi kewangan dan rawatan perubatan di Saudi.

Ini termasuk bayaran ganti rugi kepada keluarga Allahyarham dan kos menerbangkan mereka ke sana.

Menurut sumber-sumber, ST&T akan membiayai sehingga S$35,000 bagi mangsa yang maut dalam kemalangan serta S$1,000 lagi untuk urusan pengebumian. Selain itu, biaya untuk keluarga membuat lawatan ke sana akan ditanggung ST&T sehingga $10,000.

Pihak insurans juga sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Saudi dan Singapura sekiranya perlu membawa pulang jemaah yang cedera ke tanah air dengan segera.

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan